Kota Kinabalu: Seramai 10 pendatang tanpa izin (PTI) masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara haram.
Kesemua mereka mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain atas kesalahan memasuki negeri tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua 10 individu terbabit terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia yang ditangkap di beberapa lokasi berbeza di sekitar bandar raya ini, Sipitang dan Tenom baru-baru ini selepas gagal mengemukakan dokumen sah kepada anggota Imigresen semasa operasi dijalankan.
Mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 serta sebatan jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan kesemua PTI tersebut merayu agar diberi hukuman ringan dan dihantar pulang ke negara asal secepat mungkin.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara mereka bermula dari tarikh tangkapan dan selepas tamat tempoh hukuman mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran.
Dalam kes berasingan di mahkamah sama enam individu turut diperintahkan membayar denda RM10,000 setiap seorang atau berdepan 12 bulan penjara kerana tinggal lebih masa.
Keenam-enam mereka terdiri daripada warga Filipina dan Pakistan mengaku bersalah tinggal di negeri ini selepas tempoh sah dokumen perjalanan mereka tamat selama beberapa bulan hingga beberapa tahun.
Mereka ditahan semasa operasi yang dijalankan oleh anggota Imigresen di Sipitang dan Tenom baru-baru ini.
Semua warga Pakistan berkenaan telah membayar denda dan mahkamah memerintahkan mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran.
Sementara itu seorang lagi warga Pakistan dikenakan denda keseluruhan RM5,500 atas dua kesalahan iaitu memasuki negeri ini secara haram dan melanggar syarat dokumen perjalanannya.
Bagi kesalahan pertama dia didenda RM5,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar manakala bagi kesalahan kedua dia diperintahkan membayar denda RM500 atau dipenjara tiga bulan.
Pegawai Pendakwa Gressia Yolanda Ismail Uvaraj dari Jabatan Imigresen mengendalikan pendakwaan.