Kota Kinabalu: Presiden Upko, Datuk Ewon Benedick menegaskan komitmennya untuk memacu agenda “Sabah First” dalam Kabinet Sabah baharu.
Ewon, yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, berkata pembangunan sektor keusahawanan akan menjadi fokus utama bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah serta memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.
“Keusahawanan adalah pemacu utama pembangunan ekonomi Sabah, dan saya akan melakukan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan kepada saya,” katanya selepas majlis angkat sumpah Kabinet baharu di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu pada Isnin.
Presiden Upko itu berkata agenda Sabah First parti akan terus menjadi panduan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri, khususnya dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah.
“Saya akan memastikan agenda Sabah First menjadi asas kepada keputusan Kabinet supaya rundingan dengan Kerajaan Persekutuan mengenai 40 peratus hasil dan isu berkaitan kekal menjadi keutamaan,” katanya.
Ewon turut mengucapkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor atas kepercayaan yang diberikan kepada Upko untuk berkhidmat dalam Kabinet Negeri.
Dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, Ewon mengekalkan kerusi Kadamaian dengan memperoleh 11,977 undi, menewaskan tujuh calon lain dengan majoriti 9,672 undi.
Terdahulu, Ewon bersama anggota Kabinet lain termasuk Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun, Datuk Ariffin Arif, Datuk James Ratib, Datuk Nizam Titingan, Datuk Rubin Balang, Datuk Julita Mojungki, Datuk Jafry Ariffin dan Datuk Jamawi Jaafar, mengangkat sumpah masing-masing.