Kota Kinabalu: Muhammad Al-Akif Elias dari Brunei berjaya mempertahankan gelaran Juara Antara Juara pada Kejohanan Bina Badan dan Fizikal Mr Borneo yang berlangsung di Dewan Kebudayaan Penampang pada Ahad.
Seramai 150 atlet mengambil bahagian dalam acara tahunan serantau anjuran Persatuan Bina Badan Sabah (SBBA) itu.
Joseph Ladi mewakili PDRM menjadi pemenang dalam kategori bawah 70kg bina badan lelaki dan gelaran 70kg ke atas dimenangi Muhammad Al-Akif manakala gelaran masters lelaki 45 tahun ke atas dimenangi oleh Redy Ondui (Sabah).
Lily Nur Izzaty Ahmad (Sabah) menjuarai dalam wanita diikuti Alfrida Hatumena (Labuan) dan Ivy K Yon (Sabah) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Alfrida dan Lily bertukar tempat dalam kategori athletic physique dengan Alfrida menduduki tempat teratas manakala di tempat ketiga ialah Cristy Reachel Josip (Sabah).
Mohammad Asraf Hamza (Sabah) mengungguli kategori sport physique lelaki bawah 170cm manakala Affan Affandy Sazali (Sabah) merangkul kejuaraan atas 170cm.
Bagi kategori smart body lelaki (first timer), Wong Sing Hui (Sarawak) merangkul gelaran diikuti Nathan Tan Chun (Sarawak) dan Hj Isa Hj Yunus (Brunei), manakala tiga tempat teratas kategori smart body lelaki (model) pula disandang Md Rizwan Md Yusof (Sabah), Martin Madais (Sabah) dan Abdul Rahman Lee (Sabah).
Sementara itu, gelaran poser terbaik bagi lelaki dan wanita masing-masing dimenangi Ng Chin Soon (Sabah) dan Ivy K Yon (Sabah).
Kejohanan itu dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Pembangunan Sukan dan Ekonomi Kreatif Adnan Atin.
Presiden SBBA Clarence Runggi gembira dengan rekod penyertaan tahun ini dengan wakil dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, Brunei Darussalam, Labuan, serta pasukan beruniform PDRM dan ATM, menandakan penyertaan tertinggi dalam sejarah acara itu.
Clarence berkata kejohanan itu juga telah mencapai objektifnya dengan disiplin, profesionalisme dan semangat kesukanan yang dipamerkan oleh peserta, dan ia mengukuhkan lagi kedudukan Sabah sebagai hab utama untuk bina badan di wilayah Borneo.
Turut hadir pada majlis penutup ialah pengerusi acara Johny Said, penaja utama Krishnakumar a/l Kalimuthu (pemilik Kelab Bina Badan Enrich, Kuala Lumpur) dan wakil dari Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) dan penaja tambahan BS Nutrition.