KOTA KINABALU: Seorang lelaki berumur 42 tahun didenda RM1,400 atau dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menyimpan harta curi.
Edward Lim mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana memiliki sehelai baju Nike dan sebuah kereta mainan curi kepunyaan Muhammad Zainal Ramlan, kira-kira jam 2.50 petang pada 3 Januari lalu di DBundle Mania, ITCC Penampang.
Kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa pengadu yang merupakan pekerja kedai telah menahan Lim selepas mendapati dia menyembunyikan barangan berkenaan tanpa membuat pembayaran.
Satu laporan polis dibuat dan Lim ditangkap di premis berkenaan bersama barangan curi tersebut.
Dalam kes berasingan, dua individu masing-masing didenda atas kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Gracie Arabella, 20, dan Dannyshah Saini masing-masing mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Gracie didenda RM1,500 atau dipenjara satu bulan kerana membeli empat keping tiket loteri awam haram tanpa lesen di pekan Donggongon, Penampang, kira-kira jam 3.30 petang pada 11 Disember 2025.
Mahkamah diberitahu bahawa polis yang menjalankan “Op Dadu” memeriksa Gracie dan merampas slip loteri yang kemudiannya disahkan oleh pakar perjudian sebagai rekod loteri haram.
Sementara itu, Dannyshah Saini didenda RM1,200 atau dipenjara satu bulan kerana berjudi di tempat awam.
Dia mengaku melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 26 Disember, 2025 di luar sebuah restoran di Manggatal Baru.
Pendakwaan berkata polis mendapati Dannyshah menjalankan aktiviti perjudian dalam talian menggunakan sebuah telefon bimbit.
Seorang pakar perjudian kemudiannya mengesahkan bahawa pautan laman sesawang tersembunyi yang ditemui dalam telefon berkenaan digunakan untuk tujuan pertaruhan dalam talian.
Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh dan Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan.