Seorang pelajar kolej dibebaskan dengan bon berkelakuan baik selepas melakukan urus niaga tidak sah membabitkan RM15,050 melalui akaun bank peribadinya.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan membuat perintah itu terhadap remaja perempuan berusia 18 tahun berkenaan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Remaja itu didakwa secara tidak sah terlibat dalam satu transaksi kewangan menggunakan akaun banknya di sebuah institusi kewangan pada 8 Julai 2025 di sebuah pejabat di Taman Industri Warisan, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun atau denda antara RM10,000 hingga RM150,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam membuat perintah itu, mahkamah berkata ia telah mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk hujahan pihak pendakwaan, laporan sosial pesalah muda itu yang disediakan oleh Pegawai Kebajikan serta rayuan tertuduh untuk hukuman ringan.
Mahkamah juga berpendapat kejadian berkenaan berlaku akibat kecuaian dan bukan disebabkan niat tertuduh untuk terlibat secara langsung dalam kegiatan jenayah atau sindiket terbabit.
Semasa mitigasi, remaja itu memohon hukuman ringan dengan menyatakan dia mempunyai ramai adik-beradik, bapanya ketika ini sakit dan ibunya meninggal dunia tahun lalu.
Dia turut memaklumkan mahkamah bahawa kejadian itu menyebabkannya terpaksa menghentikan pengajian serta mengakui kesalahannya.
Remaja berkenaan merayu agar diberikan peluang kedua dan berjanji akan lebih berhati-hati pada masa hadapan serta tidak mengulangi kesilapan sama.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran, dengan menegaskan tertuduh mempunyai kawalan penuh ke atas akaun bank miliknya sendiri.
Mahkamah diberitahu bahawa remaja itu telah membuat laporan polis pada 19 Julai 2025 berhubung peminjaman kad ATM miliknya kepada seorang lelaki yang dikenalinya kira-kira sebulan, dikenali sebagai Wan.
Dalam laporannya, dia menyatakan telah memberikan nombor PIN kad ATM dan kata laluan akaun bank kepada Wan pada 10 Julai 2025 dan lelaki itu berjanji akan memulangkan kad berkenaan pada 13 Julai 2025. Namun, semua cubaan untuk menghubungi Wan gagal selepas dia disekat oleh lelaki terbabit.
Siasatan mendapati seorang pengadu telah memindahkan wang berjumlah RM15,050 sebagai bayaran bagi tawaran pembekalan daripada individu bernama “Farhan” ke dalam akaun bank remaja berkenaan.
Susulan itu, akaun bank remaja itu didapati terlibat secara tidak langsung dalam penerimaan wang berkenaan tanpa tujuan yang sah.
Berikutan penemuan itu, remaja terbabit ditahan bagi membantu siasatan.