LAHAD DATU: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita dalam beberapa operasi berasingan yang dijalankan di sekitar Kampung Pisang, Jalan Bakawali pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata dalam operasi pertama sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik telah menahan seorang warga asing dan seorang wanita tempatan di dalam sebuah rumah tanpa nombor di kawasan berkenaan.
Beliau berkata hasil tangkapan membawa kepada penemuan bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah yang disyaki syabu seberat 0.27 gram.
“Ujian air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah manakala wanita tersebut didapati negatif.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam operasi lain pada hari sama Dzulbaharin menyatakan pihaknya menahan seorang lelaki tempatan yang cuba melarikan diri ketika pemeriksaan dijalankan di sebuah garaj di kawasan sama.
Menurut beliau suspek kemudianya menyerahkan sebuah kotak rokok yang mengandungi bahan disyaki syabu dalam bungkusan lutsinar.
“Dadah tersebut seberat 0.12 gram dan suspek didapati positif mengambil dadah.
“Polis turut menahan seorang lagi warga asing yang disyaki menyalahgunakan dadah. Suspek tersebut juga didapati positif dadah hasil ujian saringan,” tambahnya.
Dzulbaharin berkata operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dalam membanteras kegiatan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah di daerah terbabit.
Sementara itu di Semporna polis menahan seorang lelaki warga Filipina dan merampas 5.74 gram syabu dalam satu operasi di Kampung Bangau-Bangau pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Semporna Supt Tan Hiap Wah berkata lelaki yang berkelakuan mencurigakan itu ditahan kira-kira jam 4 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.
“Pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan satu bungkusan lutsinar mengandungi bahan disyaki syabu di dalam genggaman tanganya.
“Suspek kemudianya menyerahkan bahan tersebut secara sukarela dengan berat keseluruhan rampasan 5.74 gram.
“Semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.