RANAU: Kerja-kerja pembinaan semula jambatan runtuh di Kampung Kawiyan kini sedang dijalankan dengan kadar segera.
Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin berkata pihak berkuasa berkaitan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat pemeriksaan di kawasan terlibat dan langkah-langkah perlu sedang diambil bagi menangani masalah berkenaan.
Terdapat laluan alternatif yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya iaitu dengan menyeberangi sungai berhampiran melalui laluan aras rendah.
“Bagaimanapun katanya laluan tersebut tidak sesuai dijadikan laluan kekal kerana ketika berlaku banjir besar ia tidak boleh dilalui kenderaan atas faktor keselamatan,” katanya.
Jonathan menjelaskan laluan sementara merentasi sungai itu hanya sesuai digunakan oleh kenderaan pacuan empat roda manakala kenderaan kecil tidak digalakan untuk melaluinya.
Menurutnya sebagai penyelesaian jangka panjang kontraktor kini sedang berusaha keras untuk menyiapkan sebuah jambatan separa kekal bagi menggantikan jambatan yang runtuh.
“Namun keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan berterusan ketika ini menimbulkan cabaran kepada kerja-kerja pembinaan seterusnya menjejaskan tempoh siap jambatan tersebut,” katanya.
Terdahulu sebuah lori seberat 10 tan awal minggu ini terjunam ke dalam sungai selepas cuba melintasi jambatan lama di Kampung Kawiyan yang kemudianya kejadian itu menjadi tular di media sosial.
Pemandu dan pembantu lori tersebut bagaimanapun terselamat tanpa mengalami kecederaan serius.
Namun begitu warga net mempersoalkan keputusan pemandu lori berkenaan untuk melintasi jambatan lama yang dibina daripada separa kayu dan besi terbabit.
Difahamkan jambatan itu dibina bagi kegunaan penduduk kampung untuk berulang-alik ke destinasi masing-masing namun kini terputus susulan kejadian berkenaan.
Jambatan yang rosak itu sebelum ini hanya dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja dan kenderaan berat seperti lori tidak dibenarkan melaluinya.