Kota Kinabalu: Seorang guru sekolah menengah berusia 30 tahun dari Melaka didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelakinya yang berusia 15 tahun.
Guru itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya pada Jumaat.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap budak lelaki itu dengan membelai kemaluannya jam 12 tengah hari pada 21 Feb tahun ini, di sebuah unit pangsapuri di Penampang.
Kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 27-29 Nov tahun ini untuk mendengar kes itu dan membebaskan guru itu dengan ikat jamin sebanyak RM20,000 deposit RM10,000 serta tiga orang penjamin dan seorang daripada penjamin mestilah warga tempatan.
Guru terbabit turut diperintah melaporkan diri di balai polis Alor Gajah di Melaka dua kali sebulan.
Pasportnya, jika ada, akan disimpan oleh mahkamah sehingga kesnya selesai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan manakala peguam Siti Mahsuri Dicky dan Reagan Moo Fei Liq mewakili guru berkenaan.