Thu, 2 May 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Kolaborasi 12 penyanyi dalam Malaysia Bangga
Published on: Sunday, August 07, 2022
By: Kazalinah Kamaludin
Text Size:

Kolaborasi 12 penyanyi dalam Malaysia Bangga
LAGU Malaysia Bangga menggabungkan 12 penyanyi tempatan Sabah.
BAGI menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, penyanyi berbakat besar Dabra Sia hadir dengan lagu patriotik, Malaysia Bangga yang dilancarkan pada Jumaat lepas.Menggabungkan 12 penyanyi kelahiran Negeri di Bawah Bayu, Malaysia Bangga juga dicipta sepenuhnya oleh Dabra.

“Sebenarnya lagu Malaysia Bangga ini pernah saya bawa untuk dipertandingkan pada pertandingan mencipta lagu patriotik sempena Hari Malaysia pada tahun 2021 anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah. “Namun, rezeki tidak menyebelahi saya pada waktu itu kerana konsep yang diminta untuk pertandingan tersebut tidak sesuai dengan lirik Malaysia Bangga,” kata penyanyi dan komposer kelahiran Kota Belud itu.

DABRA turut bertindak sebagai komposer dan penerbit untuk projek Malaysia Bangga.  

Bercakap secara eksklusif kepada Hiburan Ekspres, Dabra berkata Malaysia Bangga merupakan percubaan sulungnya menghasilkan lagu patriotik.

“Saya sentiasa rasa terdorong untuk menghasilkan lagu yang mempunyai banyak makna atau mesej. Bagi saya, apabila menyanyikan lagu berbentuk mesej atau motivasi secara ‘live’ ia membantu saya untuk menjiwai dan menyampaikan lagu tersebut dengan lebih baik. “Kali ini, saya mahu mencuba sesuatu yang lebih besar iaitu menghasilkan lagu yang boleh membawa ramai penyanyi bersama.

“Jadi untuk percubaan pertama saya, saya merasakan lagu patriotik adalah sangat sesuai untuk dinyanyikan ramai-ramai sebab impak lagu itu akan lebih besar,” kata Dabra, yang hanya mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan Malaysia Bangga dari segi melodi dan lirik. Malaysia Bangga, katanya, menerapkan mesej agar semua rakyat Malaysia untuk bersyukur dan berbangga atas perpaduan dan kemakmuran yang dicapai selama ini.

“Saya harap lagu ini dapat menanamkan sifat rasa bersyukur dan semangat patriotisme dalam diri rakyat Malaysia.

“Ketepikan sikap pentingkan sendiri, salinglah menghormati antara kaum, bangsa dan agama. Lihat kepada kebaikan berbanding sentiasa ingin menjatuhkan tanpa mengira pangkat dan kedudukan,” katanya.

Akuinya lagi, ketika mencipta Malaysia Bangga dia sebenarnya sudah membayangkan siapa penyanyi yang boleh membawakan lagu tersebut.

“Saya memang 100 peratus inginkan lagu ini disampaikan secara beramai-ramai. Malah suara- suara dalam lagu Malaysia Bangga pun saya sudah dapat bayangkan.

“Arddley Nicholas dan Sarma Sitim merupakan penyanyi yang pertama saya susunkan untuk bahagian mereka disebabkan keunikan suara mereka yang mampu menghasilkan suara ‘raspy’ dan bernada tinggi jadi sangat sesuai untuk klimaks lagu Malaysia Bangga,” dedahnya.

Selain Dabra, Arddley dan Sarma, penyanyi lain yang turut terlibat dalam projek Malaysia Bangga adalah Heidi Moru, Fanzi Ruji, Santiana Ramli, Arie Sius, Marlleynney Fane, Aznor Jipin, Rhowell Rolland, Rosario Bianis dan Eylia Guntabid.

Sudah lama mengenali kesemua penyanyi ini, Dabra yang turut bertindak sebagai penerbit untuk projek itu, berkata dia amat tersentuh dengan komitmen tinggi yang mereka berikan demi menjayakan lagu Malaysia Bangga. “Kebanyakan penyanyi ini, saya sudah pernah berkerjasama beberpa kali sebelum ini, jadi suasana dia sudah tentu sangat santai dan selesa sebab masing-masing sudah faham gaya masing-masing. “Untuk mengatur perjalanan ramai penyanyi bukan mudah tapi setiap rakan penyanyi lain betul-betul bagi komitmen yang tinggi sewaktu penggambaran. Walaupun ada yang sakit pada waktu itu, merek tetap sangat bersemangat. “Semua pasukan dari jurusolek solek sehinggalah kepada jurugambar atau juruvideo, mereka juga memberikan kerjasama yang sangat baik dan itulah sebab kami dapat menyelesaikan penggambaran tepat pada waktu yang dijangkakan,” katanya.

Antara lokasi penggambaran untuk video muzik Malaysa Bangga termasuk Menara Kinabalu, Menara Tun Mustapha, Stadium Likas di Kota Kinabalu, Shangri-la Rasa Ria di Tuaran serta Sungai Tegudon dan Lasau Podi di Kota Belud.

Dabra mula mencipta nama dalam arena seni tempatan sejak memenangi pertandingan nyanyian berprestij, Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2019.

Pada pertandingan itu, bukan sahaja kemampuan vokalnya yang mendapat perhatian, bahkan dia sendiri yang mencipta lagu yang dinyanyikannya pada peringkat akhir iaitu Hiti Noh Masoku (Inilah Masaku) sehingga membawa kepada kemenangannya.

Bertitik tolak daripada itu, Dabra berkata, dia mula memperolehi sedikit demi sedikit keyakinan untuk mencipta lebih banyak karya, sambil menambah, minatnya dalam penciptaan lagu mula bercambah sejak dia di Tingkatan Tiga.

SEKITAR penggambaran video muzik Malaysia Bangga yang dijalankan di beberapa tempat di Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud. 

“Ketika itu, hanya suka-suka tetapi selepas menang Sugandoi 2019 keyakinan itu terus ada sikit untuk saya terus belajar mencipta sampai sekarang. Tapi saya masih belajar lagi dan berharap boleh mencipta lebih banyak lagi lagu berkualiti pada masa akan datang.

“Saya banyak belajar daripada hasil ciptaan lagu komposer-komposer yang lain. Lihat cara penulisan lirik dan melodi mereka. Dari situ, saya berkembang dan saya cuba untuk buat kelainan. “Sekarang, saya juga sangat berbesar hati untuk membabitkan diri dalam mencipta lagu-lagu tema yang melibatkan kolaborasi beramai-ramai, sebab dari situ saya boleh berkenalan dengan komposer lain,” katanya, yang mendapat sumber inspirasi dalam penciptaan lagu berdasarkan kehidupan sendiri dan apa yang berlaku di sekelilingnya.

Selepas sehari dilancarkan, video muzik Malaysia Bangga sudah menerima lebih 10,000 tontonan.

[email protected]

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here