Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Sabah pastikan diberi keutamaan
Published on: Thursday, January 21, 2021
By: Bernama
Text Size:

Sabah pastikan diberi keutamaan
HAJIJI (tengah) meninjau keadaan paras air tinggi di Sungai Padas selepas melawat mangsa banjir di Beaufort, pada Rabu.
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan memastikan negeri itu mendapat keutamaan dalam semua inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan impak ekonomi akibat pandemik Covid-19, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Sabah adalah antara yang paling teruk terjejas akibat pandemik ini, oleh itu kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Putrajaya untuk memastikan kita diutamakan dalam semua inisiatifnya,” kata beliau dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua hari lalu.

Hajiji berkata Pakej Bantuan Permai yang merangkumi 22 inisiatif untuk memerangi Covid-19 dan memelihara kebajikan rakyat serta menyokong kesinambungan perniagaan, pasti akan membantu meringankan kesusahan yang dihadapi rakyat Malaysia pada masa yang sukar ini.

Beliau mengakui jalan ke arah pemulihan tidak mudah kerana kesan global pandemik terhadap ekonomi.

“Tetapi, jangan lakukan kesilapan, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah akan mengambil segala kemungkinan untuk memastikan ekonomi Sabah pulih,” katanya.

Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri akan mengetuai pengurusan tebatan banjir di daerah ini.

Hajiji berkata ia termasuk cadangan mendalamkan Sungai Padas dan menjajar semula tebing sungai itu.

“Kerajaan negeri akan menimbang semula semua cadangan kerana ia usaha berterusan kerajaan negeri dalam menangani masalah banjir di Beaufort,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Mohd Dun Banir dan Dewan Pa’ Musa di Beaufort, pada Rabu.

Hajiji berkata banjir telah lama menjadi masalah di daerah Beaufort sehingga membawa kesusahan  kepada penduduk kampung.

Sementara itu, beliau menasihatkan mereka yang berlindung di PPS supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk mencegah jangkitan Covid-19.

Kira-kira 217 orang daripada 68 keluarga berada di PPS di daerah Beaufort.

“Hari ini, saya bertemu dengan mereka yang menyampaikan bantuan tunai RM500 dan bakul makanan kepada setiap keluarga,” katanya.

Kemudiannya, Hajiji melawat Jambatan Padas dan kawasan Kampung Pimping Padi di Membakut di mana hampir seluruh 31.7 hektar sawah padi di situ ditenggelami air.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here