HEADLINES :




Bukan kepentingan negara, hanya malukan negara: Hakim
Published on: Thursday, December 09, 2021
By: Bernama
Text Size:


Karim (left) and Najib.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Rabu memutuskan bahawa tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan dana SRC International Sdn Bhd bukan demi kepentingan negara tetapi hanya memalukan negara.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata Najib terlibat secara aktif dalam memastikan RM4 bilion pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC International disalurkan kepada syarikat itu tetapi selepas dana itu dikeluarkan, perayu (Najib) tidak mengambil peduli mengenai dana tersebut.

Dalam penghakiman 54 muka surat, Hakim Abdul Karim berkata bekas perdana menteri itu tidak menyoal SRC International tentang apa yang berlaku kepada dana itu, mahupun bagaimana ia digunakan dan bagi tujuan apa.

“Malah, beliau mengarahkan Menteri Kewangan kedua ketika itu (Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah) supaya tidak mengambil tahu hal SRC.

“Kelakuan perayu boleh menunjukkan hanya satu perkara, iaitu sebaik sahaja dana itu telah diperoleh SRC International, yang perayu mempunyai kawalan penuh, beliau bebas menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

“Ini ditunjukkan melalui pengaliran RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya. Ini bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan telah dilakukan demi kepentingan negara. Tiada kepentingan negara di sini, cuma memalukan negara,” kata Hakim Abdul Karim yang menyampaikan keputusan itu bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Hakim Abdul Karim berkata Najib mengambil bahagian dalam dua keputusan Kabinet untuk mengeluarkan dua jaminan kerajaan kepada KWAP supaya pinjaman yang diberikan oleh KWAP kepada SRC tidak boleh dipertikaikan.

Beliau berkata keterangan menunjukkan perayu bukan sahaja hadir tetapi mempengerusikan dua mesyuarat Kabinet yang diadakan pada 17 Ogos 2011 serta 8 Feb 2012, dan dengan itu terlibat dalam keputusan Kabinet untuk meluluskan jaminan kerajaan tersebut yang memihak kepada KWAP. – Bernama

Hakim berkata perkara itu disahkan oleh Tan Sri Mazidah Abdul Majid (saksi pendakwaan ke-40)  yang ketika itu merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri.

“Menurut Mazidah, perayu juga tidak mengisytiharkan kepentingannya dalam kedua-dua keputusan Kabinet, tidak juga menarik diri daripada perbincangan berhubung dua perkara ini dalam agenda, dan tidak juga meninggalkan mesyuarat.

Perbuatan sebegitu akan menghalang perayu dan akan menunjukkan ke arah pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya.

Hakim juga bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa terdapat bukti kukuh yang jelas menunjukkan kepentingan peribadi perayu dalam keputusan Kabinet untuk mengeluarkan dua jaminan kerajaan itu.

Beliau berkata berkata hakim Mahkamah Tinggi membuat kesimpulan daripada keterangan mengenai peranan dan penglibatan perayu dalam penubuhan SRC, geran penubuhan awal, pinjaman KWAP, pengaturan jaminan kerajaan serta struktur pemilikan dan tadbir urus SRC, dan kawalan ke atas dana SRC dan pengaliran sebahagian daripada dana SRC ke dalam akaun peribadi perayu membuktikan fakta bahawa perayu mempunyai kepentingan dalam SRC yang melebihi kepentingan jawatan awamnya.

“Kami mendapati tiada sebab yang kukuh untuk tidak bersetuju dengan penemuan itu,” katanya sambil menambah bahawa panel hakim juga bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa Najib gagal menunjukkan tindakannya yang membawa kepada keputusan Kabinet untuk memberikan dua jaminan kerajaan dilakukan demi kepentingan Kerajaan Malaysia.

Hakim itu berkata dalam rayuan ini, penglibatan perayu dalam jenayah itu dapat dilihat sejak penubuhan SRC International sehinggalah kelulusan pinjaman KWAP yang dijamin oleh jaminan kerajaan.

Beliau berkata Najib terlibat dalam kelulusan itu, sehingga sebahagian daripada dana SRC International berjumlah RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun banknya untuk kepentingan dan faedah peribadinya

Oleh itu, hakim berkata panel hakim mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah betul sepenuhnya dalam mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 tanpa keraguan munasabah.

“Pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie dan kes pembelaan telah dipertimbangkan sepenuhnya oleh yang arif hakim perbicaraan.

“Akhirnya, hakim perbicaraan berpuas hati, sama seperti kami, bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan pertuduhan melampaui keraguan munasabah. Secara keseluruhan, kami dapati sabitan itu selamat,” katanya ketika menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, jika gagal penjara lima tahun, kerana menyalah guna kedudukan.

Najib, 68, bekas perdana menteri dan menteri kewangan pertama di negara ini yang dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 28 Julai 2020, menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas mendapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya akan menjalani hukuman penjara 12 tahun setelah Hakim Mohd Nazlan memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



ADVERTISEMENT


Other News




Berita Popular


Advertisement 


Follow Us  




Follow us on