Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Ewon ‘anak kampung’ harapan rakyat Sabah
Published on: Sunday, December 04, 2022
By: Bernama
Text Size:

Ewon ‘anak kampung’ harapan rakyat Sabah
Datuk Ewon Benedick
Kota Kinabalu: Nama Datuk Ewon Benedick bukan asing lagi di bibir rakyat Sabah terutama masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR), yang mengenali beliau sebagai seorang pemimpin muda yang semakin meningkat naik.

Berasal dari Kampung Penampang Proper, Penampang, Ewon, 39, merupakan ‘anak kampung’ yang mudah didekati, justeru pelantikan beliau sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi disambut dengan perasaan gembira, serta harapan menggunung bagi membentuk negara serta Sabah yang lebih baik.

Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko) itu dilahirkan pada 1 Ogos 1983 di kampung ayahnya Benedick Yong Santung @ Donik di Kampung Penampang Proper, dan ibunya Gobidah Gindai berasal dari Kampung Kiau, Kota Belud.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (2002-2005), dan mendapat pendidikan antaranya di Kolej Matrikulasi Ibukota Kinabalu (2001–2002) dan Sekolah Menengah Kebangsaan St Micheal, Penampang (1999-2000).

Menyusuri karier politiknya, anak muda etnik Kadazan itu bergiat aktif dalam Upko dengan menjadi  Ketua Komulakan Upko (2006-2018), Ketua Bahagian Upko Kota Belud (2013-2022), sebelum menjadi Naib Presiden parti itu pada 2018 hingga kini.

Beliau bakal mengambil alih jawatan sebagai Presiden Upko daripada Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau, pada kongres parti itu dijadual pada 14 hingga 15 Jan tahun hadapan.

Ewon juga pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah (2018-2020).

Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian selama dua penggal, selepas memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 3,294 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun 2018, dan majoriti 3,459 undi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 tahun 2020.

Pada PRU15, Ewon mewakili Pakatan Harapan memenangi kerusi Parlimen Penampang dengan majoriti 14,410 undi, mengalahkan penyandang Datuk Darell Liking daripada Parti Warisan dalam saingan empat penjuru. Terdahulu, Ewon berkata beliau berbesar hati menjadi sebahagian daripada Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata mandat tersebut penting bagi pembangunan usahawan dan beliau tidak sabar untuk melaksanakan tugasnya.

Ewon berkata sebagai seorang daripada dua wakil dari Sabah, beliau akan membangkitkan isu berkaitan negeri itu dan bekerjasama dengan rakan anggota Kabinet bagi mencari penyelesaian kepada isu-isu tersebut terutama hak-hak Sabah.

“Saya juga akan memberi penumpuan kepada kawasan yang diwakili - kawasan Parlimen Penampang dan DUN Kadamaian - yang memerlukan banyak perhatian untuk pembangunan di bawah kerajaan baharu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada rakan anggota Kabinet dan marilah bersama-sama membina negara kita,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here