Sat, 27 Apr 2024

HEADLINES :


Wajik, buah tangan digemari pengunjung Malaysia ke Sulawesi
Published on: Sunday, February 25, 2024
By: Ibrahim Tabir
Text Size:

Wajik, buah tangan digemari pengunjung Malaysia ke Sulawesi
WAJIK siap dibalut dengan daun pisang kering sebagai hidangan atau buah tangan (gambar kiri). WAJIK yang siap dimasak untuk hidangan (gambar kanan).
WAJIK merupakan makanan tradisi Indonesia yang dibuat daripada gula merah yang diadun bersama beras ketan, santan dan inti kelapa parut.

Bagi pelawat dari Malaysia khususnya di pantai timur Sabah yang berkunjung ke Sulawesi Indonesia, mereka tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri proses pembuatan wajik di kawasan atau desa yang dikunjungi.

Penulis yang mengikuti perjalanan percutian bersama keluarga ke Sulawesi Barat baru-baru ini dibawa meninjau proses pembikinan wajik di Desa Sappoang dalam daerah (kabupaten) Polewali Mandar.

Pengusaha wajik, yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mail berkata proses membuat wajik mengambil masa beberapa jam untuk masak.

“Biasanya perlu ditempah awal supaya persiapan untuk bahan-bahannya disediakan,” katanya yang telah beberapa tahun terlibat dalam kerja membuat wajik. 

Bayaran upah tertentu diberikan kepada pengusaha wajik bersesuaian jumlah permintaan daripada pelanggan atau pengguna.

Pembuatan wajik secara tradisi ini dimasak menggunakan bahan kayu api dan dimasak di dalam ‘Pondok Dapur Khas’ beratap nipah dan berdinding buluh dimana pengudaraan diperlukan ketika kerja-kerja memasak wajik.

KERJA-KERJA memasak wajik dalam kawah/kuali besar (gambar kiri). PENULIS berhampiran pondok dapur khas tempat memasak wajik di Desa Sappoang, Sulawesi Barat semasa kunjungan ke sana baru-baru ini.

Semasa proses masakan, wajik perlu digaul supaya keadaannya sekata sehingga betul-betul empuk dalam kuali atau kawah besar.

Seorang atau dua orang pembantu tukang masak diperlukan ketika kerja-kerja memasak menyiapkan wajik.

Gula merah yang digunakan dalam proses memasak akan menimbulkan perubahan warna gula itu daripada coklat muda hingga coklat gelap.

Pembantu tukang masak wajik, Pak Rahman berkata wajik ada beberapa sebutan berbeza-beza mengikut bangsa atau sesebuah tempat atau lokaliti di Indonesia.

“Suku Bugis menyebutnya bajek, wajek bagi orang Makassar, golla kambu di Mandar, sementara di Pulau Jawa kuih ini disebut wajik. Bagi penduduk Sumatera, mereka menyebutnya pulut manis,” kata Rahman.

Wajik yang telah empuk dan cukup masak dituang ke dalam bekas besar sebelum dibalut menggunakan daun pisang yang telah dikeringkan.

“Selepas masak, bajek ini perlu dibungkus segera bagi mengelak ia menjadi keras,” ujar Rahman yang turut memilih kerja membuat wajik sebagai pendapatan ekonomi sampingannya di Desa Sappoang.

Pengunjung dari Malaysia di pantai timur Sabah khususnya yang bercuti ke Sulawesi biasanya membawa ole-ole dari kepulauan itu sebagai buah tangan untuk rakan-rakan atau keluarga mereka di Malaysia.

Wajik mempunyai tekstur yang berbeza-beza dan apabila dimakan terasa lunak dan mudah digigit.

Kuih ini juga dijadikan santapan menu kepada tetamu di majlis-majlis keramaian tertentu.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here