Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Shafie intai peluang perindustrian antara Jiangxi, Sabah
Published on: Monday, April 22, 2019
Text Size:

Shafie intai peluang perindustrian antara Jiangxi, Sabah
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenal pasti Wilayah Jiangxi di China untuk peluang perindustrian di Sabah.

Selepas tiba di Bandaraya Nanchang pada Sabtu lalu, beliau melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Jiangxi, Yi Lianhong di Rumah Tamu Negeri Qianhu di mana kedua-dua pemimpin itu menandatangani Surat Niat (LoI).

Shafie berkata, Sabah dan Jiangxi mahu meneroka peluang perdagangan, pelaburan, pertanian dan pelancongan bagi mewujudkan kebaikan bersama selain mempromosikan kemajuan dan pembangunan bersama.

“Saya memilih untuk datang ke Jiangxi kerana jaraknya yang dekat dengan Sabah dan pertumbuhan ekonomi pesatnya yang menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) wilayah itu meningkat 8.7 peratus kepada RMB2.19 trilion (RM1.35 trilion) pada 2018 berbanding pada tahun sebelumnya,” kata beliau, dalam satu kenyataan pada Ahad.

“Sabah sudahpun menikmati ketibaan pelancong teramai dari China di Malaysia tetapi sebagai sebuah negeri pengeluar minyak terbesar dan kedua terbesar dalam pengeluaran gas asli, Sabah juga mempunyai banyak peluang untuk diteroka oleh pelabur China.”

Sementara itu, Yi sambil mengalu-alukan kedatangan tetamunya mencadangkan hubungan kedua-dua wilayah tidak sekadar dalam sektor perdagangan dan ekonomi, tetapi juga dalam kebudayaan dan pendidikan.

Sementara itu, Persatuan Persahabatan Ma-Zhong menandatangani satu memorandum persefahaman dengan Persatuan Rakyat Jiangxi untuk Persahabatan bersama Negara-Negara Asing bagi mempromosikan pertukaran mesra antara kerajaan tempatan dan rakyat Sabah dan Jiangxi.

Jiangxi terletak di tenggara China dan mempunyai keluasan 166,900 kilometer persegi dengan jumlah penduduk seramai 46 juta dan dikenali sebagai tanah ikan dan beras.

Kedudukannya yang strategik membolehkannya menghubungkan timur dengan barat dan menghubungkan utara dengan selatan. Rangkaian kereta apinya melebihi 4,000 kilometer dan lebuhraya di wilayah tersebut mencecah sepanjang 6,000 kilometer. 

Selain itu, terdapat tujuh lapangan terbang di Jiangxi yang menghubungkannya dengan tempat-tempat di seluruh dunia.

Mempunyai sumber mineral yang banyak, terdapat 170 jenis dan rizab tembaga di Jiangxi yang berada di kedudukan nombor satu di China. Ia mempunyai lombong tembaga terbesar di Asia dan pusat meleburkan tembaga terbesar di China.

Semasa lawatan kerjanya, Shafie turut melawat ibu pejabat Perbadanan Tembaga Jiangxi, yang tersenarai dalam Fortune 500.

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here