TAWAU: Hantaran Facebook seorang ibu yang mendakwa anak lelakinya ditampar sehingga meninggalkan kesan tangan oleh seorang guru disiplin di sebuah sekolah rendah di sini, tular pada Jumaat.
Setakat jam 3 petang, perkongsian tersebut mendapat 541 komen dan reaksi, serta dikongsi 489 orang.
Wanita itu meminta pendapat rakan Facebook jika anak mereka wajar ditampar berulang kali sehingga telinga merah dan bengkak disebabkan hal kecil sahaja.
Wanita itu juga menyertakan gambar pipi anaknya yang merah berbekas jari dipercayai ditampar, menyatakan dia boleh terima jika perkara itu disebabkan tidak menyiapkan kerja sekolah.
Di ruangan komen pula, wanita itu mendakwa anaknya turut ditendang perutnya semasa puasa lalu dan perkara berkenaan turut diakui ibu lain yang mendakwa anak mereka juga pernah menjadi mangsa guru yang sama.
Ada juga yang memberi komen pengalaman anak mereka sanggup tidak hadir sekolah kerana tidak mahu masuk kelas guru terbabit.
Terdapat juga komen yang menegur tindakan ibu tersebut yang tidak sepatutnya tularkan isu, sebaliknya berhubung terus kepada pihak sekolah bagi mendengar kedua belah pihak. Bagaimanapun, wanita itu mendakwa kejadian (ditampar) sudah berulang kali berlaku.
Ada juga meminta wanita itu tidak berdiam diri, sebaliknya membuat laporan kepada Guru Besar, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau dan polis, serta membuat pemeriksaan di hospital untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh menyatakan pihaknya, setakat laporan ini, belum menerima sebarang laporan berkaitan perkara tersebut.