TAWAU: Tiga termasuk seorang lelaki warga Emas, 70, cedera apabila pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dalam kejadian di Jalan Kalabakan, pada Sabtu.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, sepasukan sembilan pegawai dan anggota dikerah ke lokasi sejauh 156 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau selepas menerima panggilan kecemasan jam 2.48 petang menerusi MERS999.
Operasi tersebut turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan yang tiba lebih awal di lokasi untuk menyelamatkan para mangsa terlibat.
Menurutnya, kemalangan itu membabitkan sebuah pacuan empat roda yang terbabas sendiri di bahu jalan dan terdapat tiga mangsa cedera di dalamnya yang berusia di antara 29 hingga 70 tahun.
“Mangsa berjaya dikeluarkan anggota PBS Kalabakan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mereka seterusnya dibawa ke Hospital Tawau dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut,”kata kenyataan itu.
Operasi ditamatkan jam 5.45 petang selepas pasukan bomba melakukan pemeriksaan akhir untuk memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.