Thu, 2 May 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Isu royalti petroleum selesai tahun depan, harap Shafie
Published on: Wednesday, November 20, 2019
By: Ricardo Unto
Text Size:

Isu royalti petroleum selesai tahun depan, harap Shafie
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berharap isu royalti petroleum akan dapat diselesaikan tahun depan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bersetuju dengan cadangan Adun Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun mengenai penetapan jangkamasa untuk memuktamadkan perkara itu, Shafie berkata beliau tidak mahu melihat isu itu berlanjutan “sehingga pilihan raya akan datang.”

“Saya menjangka perkara itu dapat diselesaikan tahun depan… itu pendirian kami (kerajaan) mengenai perkara ini kerana ia tidak boleh dibiarkan berlarutan,” katanya ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, pada Selasa.

“Tapi ini adalah satu perkara kompleks kerana ia membabitkan pindaan perlembagaan dan isu-isu lain yang perlu diteliti dan ia mengambil masa untuk diselesaikan.

“Bagaimanapun, kami kekal komited… Saya sudah suarakan bahawa saya tidak dapat tunggu lama kerana seperti yang kamu dapat lihat, kewangan Negeri telah menurun dalam Belanjawan.

“Kami sedang mengusahakannya (menyelesaikan perkara itu).”

Terdahulu, menjawab soalan tambahan daripada Adun Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Shafie menegaskan bahawa perubahan sedang berlaku, walaupun ia tidak begitu besar seperti yang diharapkan oleh rakyat.

“Apa yang lebih penting kepada kita ialah bukan konflik. Saya sedar bahawa kita telah menunggu lebih 50 tahun dan kerajaan sekarang adalah satu-satunya kerajaan yang telah berusaha dengan serius untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Jeffrey menggesa Kerajaan Negeri mengambil tindakan drastik, termasuk tindakan undang-undang untuk menyelesaikan perkara itu.

Sementara itu, Shafie berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Keempat untuk Semakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diadakan Isnin lepas telah bersetuju dengan lapan daripada 21 isu atau tuntutan yang dikemukakan oleh Sabah dan Sarawak.

Isu-isu itu adalah duti eksport balak dan produk hutan, pengagihan gas dan kuasa pengurusan elektrik, kerja-kerja awam Persekutuan dan Negeri, tenaga buruh, isu-isu kesihatan, pentadbiran Sipadan dan Ligitan, pertanian dan perhutanan serta obligasi kewangan Persekutuan di bawah Senarai Bersama.

Sembilan isu lain masih dalam perbincangan antara Kerajaan-Kerajaan Persekutuan dan Negeri – semakan pemberian khas, royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, tanah diberi hak milik kepada persekutuan, perikanan, pewujudan atau pertambahan jawatan awam baharu, perkara-perkara berkaitan pelancongan dan alam sekitar, penurunan kuasa mahkamah Sabah dan Sarawak, pentadbiran kehakiman dan pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman.

Shafie juga berkata antara isu yang belum lagi mencapai persetujuan bersama ialah stem cukai ke atas instrumen pemindahan, caj dan sewaan di bawah Ordinan Tanah Sabah dan Sarawak.

“Jawatankuasa Teknikal MA63 telah mencadangkan supaya perkara itu dikaji semula bersama dengan isu kewangan berkaitan oleh Kementerian Kewangan di bawah kajian semula kewangan,” katanya.

Sementara tiga isu lain yang belum diselesaikan adalah mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) dan hak-hak Sabah ke atas Pelantar Benua.

“Ketiga-tiga Peguam masih mengekalkan pendirian masing-masing berhubung ketiga-tiga perkara di atas.

“Oleh itu, pendekatan terbaik yang dicadangkan adalah untuk Petronas, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mencari pendekatan terbaik melalui penyelesaian komersial terlebih dahulu.”

Pada mesyuarat sama, kata Shafie, pewujudan Majlis Khas telah dicadangkan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai MA63 kerana jawatankuasa itu telah tamat Isnin lepas (18 November).

“Penubuhan Majlis Khas ini bertujuan untuk memantau kemajuan keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai MA63. Majlis itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan turut disertai Ketua-Ketua Menteri Sabah dan Sarawak serta anggota lain.

“Ia akan ditubuhkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri,” katanya.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here