Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Warga asing ditahan, 5.1kg syabu dirampas
Published on: Thursday, June 04, 2020
By: Stefyanie Myla Micheal
Text Size:

Warga asing ditahan, 5.1kg syabu dirampas
ZAINI (kedua dari kanan), Mazli (ketiga dari kanan) dan Ahmad (kanan) menunjukkan dadah dan barangan yang dirampas.
Kota Kinabalu: Seorang lelaki asing ditahan kerana menyeludup syabu seberat 5.1kg bernilai RM207,378 di terminal bas Sentosa Express (Senex) di Semporna pada jam 7.30 malam, 31 Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata satu pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna berjaya mengesan penyeludup itu susulan maklumat yang diterima.

“Daripada risikan yang dikumpul, suspek dilihat sedang mengambil satu kotak berwarna coklat dari kaunter terminal sebelum dia ditangkap.

“Siasatan lanjut mendedahkan bahawa terdapat dua lapisan kotak di mana kotak itu dilapisi dengan 19 kotak kecil fon telinga.

“Di bawah lapisan fon telinga itu adalah lima beg plastik hitam mengandungi dadah dipercayai syabu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, pada Rabu.

Zaini menambah, setiap plastik adalah seberat satu kilogram dan kotak-kotak fon telinga yang ditemui di atasnya dipercayai untuk menutup dadah itu.

Katanya, melalui siasatan awal, suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan, tiada pekerjaan tetap dan tinggal di sebuah kampung air di Semporna.

“Siasatan lanjut mendapati dadah itu dipercayai diseludup dari Kota Kinabalu menggunakan kenderaan awam darat ke daerah itu untuk diagihkan di kawasan itu dan sekitarnya.

“Anggaran kasar menunjukkan dadah itu boleh digunakan oleh 1000 penagih selama sebulan,” katanya sambil menambah seorang penagih dianggarkan mengambil sekurang-kurangnya 0.2 gram sehari.

Menurut Zaini, ujian air kencing dilakukan dan suspek didapati negatif dadah itu.

“Suspek akan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 7 Jun dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik  Sabah, Supt Ahmad Jawila dan pegawai-pegawai lain.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here