Sat, 27 Apr 2024

HEADLINES :


Marlleynney Fane tampil dengan single terbaharu Hino Ko Po
Published on: Friday, October 30, 2020
Text Size:

Marlleynney Fane tampil dengan single terbaharu Hino Ko Po
Ateng
NAIB Juara program realiti TV Vokal Bukan Sekadar Rupa (VBSR), Marlleynney Fane tampil dengan single terbaharunya dalam bahasa Dusun bertajuk Hino Ko Po.

Karya ciptaan sepenuhnya Baha Tungau itu baru sahaja dilancarkan di laman YouTube milik Baha Tungau Studio pada 25 Oktober lalu dalam bentuk video lirik.

Bertindak sebagai pencipta lagu dan lirik, Ateng yang sebelum ini juga pernah bekerjasama dengan beberapa lagi penyanyi di Sabah seperti Hosiani Keewon, Aznor Jipin, Fanzi Ruji, dan ramai lagi, turut membantu menghasilkan muzik bagi lagu tersebut.

Proses pembikinan muzik dilakukan di Baha Tungau Studio manakala proses rakaman vokal dan kerja-kerja adunan akhir (mastering) dibuat di Pusakag Studio, Donggongon Penampang milik komposer terkenal, Douglas Henry.

Marlleynney

 

Difahamkan lagu Hino Ko Po sudah mula disiarkan di radio-radio tempatan dan swasta termasuklah radio dalam talian di Sabah.

Tampil dengan lagu terbaharu sudah pastinya sesuatu yang mengujakan buat penyanyinya, Marlleynney Fane atau lebih mesra dipanggil Mar.

“Agak lama juga saya menantikan peluang untuk merakamkan lagu genre Balada dalam bahasa Dusun, siapa sangka peluang itu muncul secara tiba-tiba,” katanya.

Mar memberitahu, dia dihubungi oleh Ateng menerusi aplikasi perbualan WhatsApp dan menyatakan minat untuk bekerjasama di dalam satu lagu.

“Siapa yang tidak mahu jika komposer terkenal yang offer, mestilah mahu,” katanya.

Penyanyi yang pernah berduet dengan Jonathan Tse menerusi lagu Mana-Mana Saja itu memberitahu, dia diberi masa selama lebih kurang sebulan untuk memahami dan mendalami maksud lagu tersebut sebelum proses rakaman vokal di Pusakag Studio.

“Bukan senang untuk membawakan lagu ini, tapi saya diberi kepercayaan penuh oleh Ateng untuk membawakannya mengikut citarasa dan cara saya sendiri sesuai dengan kehendak lagu.

“Antara cabaran di dalam lagu ini adalah terdapat beberapa ‘part’ yang saya perlu buat beberapa kali hinggalah semuanya selesai, yang penting Douglas dan Ateng sendiri pun berpuas hati,” ujar Mar.

Bagaimanapun, disebabkan kekangan tugas lain, Ateng tidak dapat hadir dalam proses rakaman itu dan memberikan mandat serta kepercayaan penuh kepada rakan seperjuangannya, Douglas untuk membantu Mar.

Pendapat Ateng

Sementara itu, Ateng turut menyatakan keterujaannya selepas lagu itu berjaya dilancarkan beberapa hari lepas.

“Selepas proses rakaman selesai, saya dihubungi Douglas untuk mendengar sendiri hasil rakaman tersebut, dan ternyata hasilnya sangat cemerlang,” katanya.

Ditanya pendapatnya tentang Mar, Ateng menganggap bakat yang ada pada penyanyi itu memang lain dari yang lain dan mempunyai kemampuan vokal yang tersendiri.

“Bagi saya dia mampu untuk menyanyikan apa saja genre lagu yang diberi, sama ada lagu asli, dangdut, Rock dan sebagainya termasuklah lagu seperti ini,” ujar Ateng merujuk kepada lagu terbaharu tersebut.

“Kalau kita dengar semula lontaran vokal Mar di dalam lagu Hino Ko Po, ternyata ada sesuatu yang dia ‘simpan’ selama ini dan berjaya menyampaikannya setelah sekian lama tersimpan menerusi kelunakan dan kematangan suaranya,” tambahnya. Ateng memberitahu, dia sudah lama menantikan peluang untuk bekerjasama dengan Mar dan beberapa lagi penyanyi lain di Sabah.

Lagu Orang Mati

Menurutnya, ramai juga orang bertanya termasuk orang rumahnya sendiri kenapa kebanyakan lirik dalam lagunya menceritakan tentang hubungan yang berakhir dengan kematian?

“Pada saya semua itu cuma kebetulan, mungkin liriknya yang membuatkannya kedengaran seperti itu,” ujarnya. Katanya, lagu-lagu itu pun tercipta secara spontan manakala penyampaian lagu berkenaan adalah bergantung kepada kesesuaian melodi yang terhasil tanpa sebarang niat atau sebab yang lain.

Apa pun, kita ucapkan selamat berjaya kepada Mar dalam kerjayanya sebagai penyanyi dan begitu juga kepada Ateng bagi mengangkat martabat lagu-lagu bahasa Dusun di persada antarabangsa.

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here