Tue, 30 Apr 2024

HEADLINES :


Kes tembak: Anggota Maritim buta sebelah mata
Published on: Tuesday, April 09, 2024
By: Lagatah Toyos
Text Size:

Kes tembak: Anggota Maritim buta sebelah mata
HAMID (kedua, kanan), Victor (ketiga, kanan) dan yang lain melawat Zainal di Hospital Tawau pada Isnin.
TAWAU: Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, mengakui hanya mampu menyebut kalimah “Allahu Akhbar” sebelum segera memalingkan mukanya untuk mengelak terkena tembakan, apabila melihat suspek mengacukan pistol tepat ke arahnya di perairan Kg Pangi, Kunak, pada Ahad.

Tembakan das pertama berjaya dielaknya, namun das kedua mengenai bawah mata kirinya sehingga mengakibatkan darah memancut keluar.

Zainal, yang merupakan pemandu Bot Banggi 48, disahkan buta mata kiri akibat insiden tersebut selepas terpaksa menjalani prosedur mengeluarkan peluru selama dua jam di Hospital Tawau.

Menceritakan kejadian itu, beliau berkata, pasukannya menghampiri bot enjin sangkut dinaiki tiga suspek berkenaan semasa Ops Khas Pagar Laut untuk tujuan pemeriksaan dengan niat membantu kerana menyangka bot suspek tersadai.

“Segala-galanya berlaku dengan pantas dan kami juga langsung tidak menjangkakan suspek akan mengeluarkan pistol... Muatan bot suspek tidak dapat dikenalpasti kerana ditutup dengan kanvas,” katanya, pada Isnin.

Insiden yang pertama kali dialaminya sepanjang 19 tahun tempoh perkhidmatan, bagaimanapun tidak mematahkan semangat Zainal untuk meneruskan tugasnya sebagai anggota keselamatan.

Malah, katanya, jika sihat hari ini, beliau juga mahu turut serta mencari suspek.

“Saya juga redha dengan keadaan mata kiri yang kini cacat kekal (buta) akibat kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, keluarganya di Negeri Sembilan juga sudah dimaklumkan mengenai keadaan dirinya dan adik lelakinya dijangka akan sampai di Tawau hari ini (Selasa).

Sementara itu, seorang lagi anggota cedera, Prayrie De Cuella Jimin, 35, yang berasal dari Kudat berkata, dia melepaskan lima das tembakan ke arah suspek untuk mempertahankan diri selepas ditembak.

Prayrie, yang cedera di kedua-dua tangan berkata, beliau melihat seorang suspek rebah tetapi tidak pasti sama ada dia terkena tembakan ataupun untuk mengelak.

“Bot suspek juga tidak dapat bergerak sekitar dua minit, sebelum akhirnya berjaya melarikan diri ke kawasan air cetek, sekali gus menyukarkan bot kami masuk ke kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam insiden sekitar jam 8.40 pagi di perairan Kg Pangi, Kunak pada Ahad, pasukan Maritim Malaysia Zon Maritim Lahad Datu berbalas lima tembakan dengan empat tembakan daripada suspek.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Victor Sanjos berkata, salah seorang daripada tiga suspek ada dalam senarai orang dikehendaki Esscom

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mendedahkan identiti suspek terlibat kerana usaha mengesan, menjejak dan melakukan tangkapan masih giat dijalankan.

“Apa yang saya boleh dedahkan, kesemua suspek merupakan warga asing dan sudahpun dikenalpasti.

“Ketika ini, kita menggembleng semua aset yang ada di Esszone untuk mengesan dan menangkap mereka,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana (M) Datuk Hamid Mohd Amin selepas melawat anggota cedera di Hospital Tawau, pada Isnin.

Hamid berkata Zainal akan dirawat dalam tempoh seminggu di Hospital Tawau untuk pemantauan rapi sebelum dibenarkan keluar, sementara Prayrie sudah dibenar keluar selepas menerima rawatan.

Ketika ini, katanya, pihaknya bersama Esscom, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) giat mengesan tiga suspek tersebut, yang disyaki terlibat jenayah rentas sempadan iaitu kes penyeludupan.

“Kita dengan segala daya upaya dan aset yang ada sedang mengesan suspek terlibat dan memohon komuniti maritim agar tampil memberikan maklumat.

“Kita juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak, termasuk kemungkinan penduduk tempatan yang cuba melindungi penjenayah,” katanya.

Tambahnya, suspek-suspek itu melarikan diri ke arah Semporna dan dipercayai berada di kawasan Suba Duyung dan Batik Parang antara jam 4 hingga 6 petang untuk menukar enjin sangkut 40 kuasa kuda, dan kemudiannya di kawasan Matamanuk pada jam 7 malam.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here