Thu, 6 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Sabah pastikan pelaburan direalisasi, dipercepat
Published on: Sunday, May 12, 2024
Text Size:

Sabah pastikan pelaburan direalisasi, dipercepat
BERDIRI, baris kedua: Muhammad, Phoong dan Stephanie bersama yang lain selepas majlis pembukaan Bursa Marketplace Fair 2024.
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri akan memperkasa “Manufacturing Investment Task Force” tahun ini untuk memastikan semua cadangan pelaburan yang diluluskan dapat direalisasi dan dipercepat pelaksanaannya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. 

Katanya, sektor perindustrian dan pelaburan terus menjadi pemacu kepada ekonomi negeri dan menyumbang kepada keseluruhan jumlah pelaburan yang menggalakkan. 

Beliau berkata, pada 2023, Sabah mencatatkan jumlah pelaburan negeri sebanyak RM11.346 bilion dan berada di kedudukan ketujuh menerima pelaburan tertinggi di Malaysia.  

“Kerajaan Negeri berjaya merancakkan sektor perindustrian dan menggalakkan lagi pelaburan berkembang dalam rantaian ekonomi,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Bursa Marketplace Fair Sabah 2024 di Pusat Beli-Belah Suria Sabah, pada Sabtu. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, Datuk Phoong Jin Zhe. 

Hajiji berkata, pelaburan-pelaburan yang mempunyai impak meluas seperti  Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd telah mengembangkan pelaburan di negeri Sabah melalui syarikat subsidiarinya, Curix Sdn Bhd dalam pembuatan kilang copper granulation di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dengan nilai pelaburan berjumlah RM300 juta.  

Menurutnya, industri minyak dan gas di negeri Sabah juga sedang berkembang dalam kedua-dua aktiviti huluan dan hiliran. Kesemua pelaburan ini telah memenuhi permintaan global semasa yang tinggi serta memberi tumpuan dalam memacu pertumbuhan secara meluas dan juga peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.  

Beliau berkata, amat penting rakyat negeri ini didedahkan dengan pendidikan dan celik kewangan serta mempunyai “minda seorang pelabur”, untuk menjadikan kehidupan lebih baik, menyumbang dalam pembangunan komuniti, dan membantu orang lain mencapai matlamat yang sama. 

Hajiji berkata, berdasarkan kertas penyelidikan mengenai Landskap Pelabur Runcit Malaysia yang diterbitkan oleh Bursa Malaysia baru-baru ini, responden dari Sabah dan Sarawak secara amnya mempunyai tahap pemahaman yang agak rendah  mengenai pelaburan saham.  

“Ini menunjukkan betapa pentingnya pendidikan kewangan dalam usaha meningkatkan tahap kecelikan seseorang dalam pasaran saham,” ujarnya. 

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri komited sepenuhnya terhadap pembangunan belia kerana mereka merupakan pelaburan terbesar negeri yang harus dididik untuk menjadi pelabur yang bertanggungjawab dalam dekad yang akan datang. 

Katanya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), lebih separuh atau 52.5 peratus daripada populasi rakyat Malaysia terdiri daripada generasi Milenium, Gen Z atau lebih muda dan data daripada Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia menyatakan Sabah mempunyai bilangan belia kedua tertinggi di Malaysia. 

“Justeru, sekarang adalah waktu yang terbaik untuk membantu memajukan status kehidupan belia kita. Saya yakin Bursa Marketplace Fair dapat mendidik dan membantu menyedarkan sifat pelabur bijak, terutama kepada golongan belia kita,” tegasnya. 

Hajiji berkata, sebagai pelabur, yang penting ialah harus  belajar bagaimana untuk mendapatkan dan melindungi modal, selain berjaga-jaga dengan skim penipuan kewangan yang semakin banyak berlaku saban hari.  

“Seperti yang berlaku di mana-mana seluruh dunia, kebanyakkannya bermula dari diri kita sendiri. Di  sinilah pentingnya peranan Bursa Malaysia kerana mereka  mempunyai   banyak panduan serta pelbagai peluang pelaburan yang harus dimanfaatkan oleh para belia kita,” tegasnya. 

Beliau juga memuji Bursa Malaysia kerana telah mengambil inisiatif untuk memupuk masyarakat celik kewangan pada usia muda melalui alat gamifikasi mereka, Burmon Trader.  

Hajiji berharap program Bursa Marketplace Fair 2024 dapat mendedahkan pengunjung kepada pelbagai alatan digital yang membantu mendidik dan membangunkan pelabur, seperti MyBursa dan aplikasi Bursa Anywhere.  

Beliau juga mengalu-alukan pelancaran gerbang API Bursa Malaysia baru-baru ini, memandangkan kadar pemilikan akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) yang masih rendah di Sabah. 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift dan Ketua Strategi dan Pembangunan Pelabur Stephanie Tan Kar Mun, antara lain.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here