Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Golongan muda digalak sertai PBS - Teruskan legasi kepimpinan yang baik: Joachim
Published on: Tuesday, April 18, 2023
Text Size:

Golongan muda digalak sertai PBS - Teruskan legasi kepimpinan yang baik: Joachim
Joachim (tiga dari kiri) memalu gong bagi menyempurnakan perasmian mesyuarat itu. Turut kelihatan ialah Julita (kelima dari kanan).
MATUNGGONG: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr. Joachim Gunsalam mahu PBS Bahagian Matunggong kekal bersemangat, bersatu dan bangkit semula dengan strategi baharu bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.

Beliau mengingatkan jentera bahagian agar kekal bersatu dan memastikan kerjasama yang baik sesama mereka dalam usaha memenangi semula kerusi parlimen Kota Marudu dan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada.

“Perpaduan dalam kepimpinan dan kalangan ahli sangat penting untuk kemenangan dalam pilihan raya dan menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Matunggong di Dewan Mini KDCA Matunggong, di sini Sabtu lepas. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri turut menggalakkan penglibatan lebih ramai golongan muda dalam parti itu. “Peranan pemimpin terdahulu dihormati dan dalam masa yang sama kita turut mengalu-alukan penglibatan pemimpin muda untuk meneruskan legasi kepimpinan yang baik dalam PBS. “Anak-anak muda perlu belajar mengikut acuan kepimpinan sederhana namun berprinsip dan setiakawan dalam perjuangan,” ujar beliau, sambil mengalu-alukan anak-anak muda yang berpendidikan untuk menyertai politik menerusi PBS.

Selain itu, Joachim  juga menekankan pentingnya kerjasama yang baik dengan rakan-rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Negeri agar mereka boleh bersama-sama menjayakan perancangan dan sasaran dalam membangun Sabah.

Joachim turut mengucapkan tahniah kepada PBS Bahagian N5 Matunggong kerana berjaya melaksanakan AGM pada tahun ini seterusnya menjadi bahagian yang pertama mengadakan AGM di seluruh Sabah yang akan berlangsung di sepanjang bulan ini sehingga penghujung bulan Mei. Katanya, perhimpunan seperti ini dapat mengingatkan bahagian mengenai kekuatan yang ada. “Saya dimaklumkan terdapat 133 cawangan pbs di seluruh kawasan DUN Matunggong dan 109 cawangan berjaya mengadakan mesyuarat agung tahunan. Walaupun jumlah keahlian yang besar bukanlah satu-satunya penentu kemenangan, namun kita yakin ia dapat membantu untuk menaikkan semangat PBS Matunggong untuk bangkit dan mengatur strategi baharu bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Memenangkan semula kawasan parlimen Kota Marudu pun bukanlah sesuatu yang mustahil,” kata Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Sementara itu, Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Matunggong mengalu-alukan pelancaran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Mac lalu yang menunaikan impian untuk mewujudkan sepenuhnya formula tempatan bagi parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah. Setiausaha Agung PBS merangkap Ketua Bahagian PBS Matunggong, Datuk Julita Majungki berkata, sungguhpun demikian, pergolakan politik yang berlaku pada awal tahun ini telah mengubah sedikit sebanyak landskap politik kerjasama di negeri Sabah.

“Kerjasama yang terwujud tidak semestinya sesuatu yang ideal tetapi ia adalah pilihan terbaik. Ikatan yang mengikat kerjasama ini adalah nilai dan prinsip yang serupa yakni untuk melihat kestabilan politik dan memelihara kebajikan rakyat secara menyeluruh.

“Oleh kerana bentuk kerjasama ini agak kompleks maka kita menjangka ada banyak bentuk toleransi yang perlu kita depani sambil memastikan agar kepentingan kita tidak terjejas,” katanya dalam ucapan dasarnya pada Mesyuarat Agung Tahunan itu.

Julita berkata, PBS ingin melihat formula kerjasama politik yang adil, telus, jujur dan setiakawan.

“Nilai-nilai ini amat penting untuk suburkan kerjasama yang utuh. Kita telah melalui perjalanan politik yang agak panjang. Pelbagai pengalaman termasuk menjadi kerajaan sendiri.

“Dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini, kita melihat perubahan yang ketara dalam pembentukan sesuatu kerajaan. Kita terpaksa akur bahawa rakyat khususnya pengundi kini sudah faham mengenai kesan dan akibat politik dominan dalam pentadbiran sesuatu kerajaan.

“Sebagai sebuah parti politik yang matang, PBS berusaha untuk memastikan agar kita dapat memainkan peranan dalam menyokong usaha kerjasama politik seimbang. Bentuk kerjasama seperti ini amat sesuai dengan struktur masyarakat berbilang kaum di negeri ini. “Kita yakin GRS dapat menyediakan platfrom terbaik untuk kerjasama seimbang yang dimaksudkan. Seterusnya, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan kerjasama ini dipupuk, dihormati dan dijaga demi  kemakmuran dan sejahtera kita bersama,” ujarnya.

Tambahnya, parti-parti politik gila kuasa dan tidak memahami aspirasi rakyat Sabah harus ditolak ke tepi, termasuklah parti yang hanya mencari peluang dan tidak bermaruah.

“Prinsip dan integriti tidak ada dalam kamus mereka. Pemimpin dan parti sebegini wujud untuk kumpulan atau pengikut sendiri sahaja. Mereka tidak berpandangan jauh apatah lagi untuk melindungi hak dan negeri Sabah.

Julita turut menyeru semua pihak terutama ahli PBS Matunggong untuk mengambil sikap dan pendirian untuk kekal bersemangat meskipun dikejutkan dengan kekalahan teruk di Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Kita harus mengambil sikap dan pendirian untuk kekal bersemangat. Tidak ada pasukan atau individu yang ingin mengalami kekalahan bila masuk ke dalam gelanggang pertempuran. Namun kita perlu menerima hakikat bahawa kalah dan menang itu adalah adat dalam pertandingan. Tugas kita adalah untuk bangkit dan kekal bersemangat menanti pertempuran baru yang bakal kita hadapi pada masa akan datang,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong itu juga menyatakan komitmennya untuk bekerja keras mencapai sebaik mungkin perancangan yang telah beliau gariskan.

“Cabaran dan masalah memang banyak tetapi ini adalah perkara biasa. Kita teruskan usaha. Saya menjangka, ada beberapa jalan di kawasan Parlimen P.168 Kota Marudu yang bakal dilaksanakan dalam penggal ini. Semua itu adalah usaha yang telah ditabur oleh PBS. Sehingga kini, kita belum berhenti untuk menyusuli perkara tersebut dengan kapasiti yang ada.

“Marilah kita kuatkan semangat dan kekalkan usaha serta momentum kerja bersama rakyat. PBS masih pilihan terbaik rakyat Matunggong yang sudah terbukti track record nya selama ini,” kata Julita yang juga Pembantu Menteri Kewangan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here