Mon, 6 May 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Sabah lulus RUU anti lompat parti
Published on: Thursday, June 01, 2023
Text Size:

Sabah lulus RUU anti lompat parti
Hajiji memetik Perkara 6(7) hanya terpakai dalam keadaan berikut di mana, sebagai contoh, apabila parti A memenangi 40 kerusi daripada jumlah 73 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya.
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 25 Mei meluluskan Rang Undang-undang bagi meminda Perlembagaan Negeri yang bukan sahaja menghalang Adun dipilih daripada bertukar parti tetapi juga membolehkan mana-mana antara mereka dilantik sebagai Ketua Menteri jika orang itu mendapat sokongan majoriti.

Pindaan itu bukan sahaja melibatkan Perkara 17A baharu, peruntukan anti lompat parti yang akan dimasukkan ke dalam Perlembagaan Negeri, tetapi juga beberapa fasal lain sedia ada dalam Perlembagaan.

Speaker Datuk Seri Kadzim M Yahya meluluskan Rang Undang-undang – Enakmen Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 – yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor selepas undi bahagian fasal demi fasal dipanggil.

Ini susulan permintaan pembangkang Adun Parti Warisan yang tidak bersetuju terhadap pindaan untuk menghapuskan Fasal (7) Perkara 6 Perlembagaan.

Kesemua 75 Adun yang hadir bersetuju dengan pindaan untuk memasukkan fasal baharu, Perkara 17(A) yang menyatakan mana-mana Adun yang meletakkan jawatan dalam partinya perlu mengosongkan kerusinya.

Perkara sama akan dikenakan kepada Adun Bebas yang ingin menyertai parti politik tetapi tidak terpakai kepada enam Adun Dilantik kerana mereka tidak mempunyai kawasan pilihan raya.

Lebih dua pertiga atau 61 daripada keseluruhan 79 Adun mengundi menyokong pindaan untuk menghapuskan Fasal 7(6), manakala 14 yang lain, termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang), tidak bersetuju. Empat Adun tidak hadir, termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag) yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.

Penghapusan Fasal 7(6) membolehkan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri dilantik sebagai Ketua Menteri jika individu itu mendapat kepercayaan majoriti Dewan.

Orang itu tidak perlu menjadi ketua parti politik yang mempunyai wakil rakyat paling ramai.

Sebelum ini, Fasal tersebut menyatakan bahawa pemimpin parti politik yang telah memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri dianggap sebagai ahli Dewan yang berkemungkinan mendapat kepercayaan tersebut.

Seramai 13 Adun membahaskan RUU itu, tetapi kebanyakan mereka tertumpu kepada Fasal 7(6) kerana mereka mahu ia dikekalkan dan tidak dihapuskan.

Hajiji menjelaskan, Fasal 7(6) dicadangkan untuk dihapuskan kerana ia tidak lagi selaras dengan Fasal 3 berikutan situasi politik semasa.

Beliau berkata Fasal 7(6) telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Negeri pada 1990 berikutan insiden yang berlaku pada 22 April 1985, bagi mengelak kejadian serupa berulang.

“Namun, situasi politik semasa hari ini, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, kerajaan hanya boleh dibentuk apabila parti-parti politik mencapai persetujuan untuk membentuk gabungan.

“Justeru, Fasal 7(6) tidak lagi relevan, malah menimbulkan kekeliruan dan perdebatan dalam kalangan Adun.

“Keperluan Fasal 3 yang menetapkan bahawa Yang Dipertua Negeri hendaklah melantik Ketua Menteri daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri, yang pada pendapatnya boleh mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri adalah memadai untuk pelantikan Ketua Menteri,” katanya.

Hajiji memetik Perkara 6(7) hanya terpakai dalam keadaan berikut di mana, sebagai contoh, apabila parti A memenangi 40 kerusi daripada jumlah 73 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya.

“Pemimpin parti A memenuhi Perkara 6(7) untuk dilantik sebagai Ketua Menteri. Ini adalah situasi yang boleh berlaku.

“Tetapi Perkara 6(7) tidak terpakai atau tidak sesuai dalam keadaan di mana, sebagai contoh, parti A memenangi 26 kerusi, parti B memenangi 29 kerusi, parti C memenangi 15 kerusi dan parti D memenangi tiga kerusi daripada jumlah keseluruhan 73 kerusi. Dalam situasi ini, tidak ada parti yang memenangi majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan, mengakibatkan kerajaan tergantung seperti apa yang berlaku di Sabah pada 2018.

“Seperti semua sedia maklum, kerajaan negeri yang dibentuk sejak 2018 adalah kerajaan campuran. Jika merujuk kepada Perkara 6(7), tiada pemimpin parti yang memenuhi kehendak Perkara 6(7). Justeru, Perkara 6(7) ini perlu dihapuskan bagi memastikan pelantikan Ketua Menteri tidak melanggar peruntukan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri.

“Ini bagi membolehkan atau memudahkan Yang Dipertua Negeri membuat keputusan,” kata Hajiji, sambil menambah jika mereka mengikut Perkara 6(7) ia bermakna pemimpin parti yang mendapat majoriti, walaupun ia tidak sampai 50 peratus daripada jumlah yang diperlukan, boleh menjadi Ketua Menteri yang hanya menimbulkan kekeliruan.

“Jadi kita mudahkan Yang Dipertua Negeri membuat keputusan mengikut budi bicaranya siapa yang mendapat majoriti sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Mohd Shafie, dalam membantah perkara itu, berkata Perkara 6(7) perlu dikekalkan kerana ia bagi melengkapkan Fasal 3, di mana sebuah parti politik telah memenangi majoriti, sebagai panduan kepada Yang Dipertua Negeri untuk tidak menyalahgunakan kuasa seperti apa yang berlaku semasa era PBS.

Terdahulu, semasa membentangkan Rang Undang-undang itu, Hajiji berkata cadangan pindaan itu, antara lain, bertujuan untuk memastikan kestabilan politik dan menamatkan krisis politik tidak berkesudahan yang dihadapi Sabah.

“Pindaan ini juga akan memberi mesej jelas kepada setiap Adun supaya berpegang teguh kepada prinsip parti mereka untuk menjaga mandat dan amanah pengundi yang memilih mereka dalam pilihan raya.

“Saya yakin enakmen ini juga boleh menghentikan tindakan Adun, sama ada dipilih atau dilantik, bertukar parti tanpa sebab kukuh dan munasabah serta memastikan kestabilan politik jangka panjang di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata undang-undang anti lompat parti tidak akan mempunyai kesan retrospektif dan pelaksanaan enakmen itu akan bermula dari tarikh ia berkuat kuasa.

Di bawah enakmen itu, Adun yang melompat ke parti lain, tidak kira sama ada parti itu berada dalam gabungan yang sama atau tidak, akan kehilangan kerusinya.

“Mana-mana Adun yang bertukar parti atau keluar parti untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Bebas perlu mengosongkan kerusinya,” tambahnya.

Hajiji berkata keahlian Ahli Dewan Undangan merujuk kepada keahliannya dalam parti politik, tidak kira sama ada parti itu adalah sebahagian daripada gabungan parti atau tidak.

“Selain itu, keahlian seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri juga merujuk kepada Adun yang bukan ahli mana-mana parti politik dalam gabungan tetapi merupakan ahli langsung parti gabungan itu,” katanya.

Beliau berkata keahlian seseorang Adun dalam gabungan tidak akan dipertimbangkan dalam pemakaian undang-undang anti lompat parti kerana prinsip penentu utama ialah keahlian dalam parti politik tertentu. 

Beliau juga berkata simbol parti di mana Adun bertanding dalam pilihan raya tidak akan dipertimbangkan dalam undang-undang anti lompat parti.

Mengenai pengecualian dalam undang-undang anti-lompat parti, Hajiji berkata Adun tidak akan kehilangan kerusi mereka jika parti politik mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftarannya, atau mereka dipecat oleh parti.

“Pengecualian itu juga terpakai kepada seorang Adun yang meletakkan jawatan dalam parti politiknya apabila dipilih sebagai Speaker. Perkara ini tidak akan menyebabkan Speaker kehilangan kerusi di Dewan Undangan Negeri,” katanya lagi.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

Keywords:
sabahmovingforward





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here