Sun, 28 Apr 2024

HEADLINES :


Banyak kabel telefon dicuri di Ranau: Henrynus
Published on: Tuesday, March 19, 2024
By: Jinni Juanis
Text Size:

Banyak kabel telefon dicuri di Ranau: Henrynus
Kabel telefon yang sudah dipotong di salah sebuah jalan di Kg Marakau (kanan).
RANAU: Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) menggesa Telekom Malaysia segera mendapatkan semula semua kabel telefon yang tidak lagi digunakan di sepanjang jalan utama di seluruh Sabah bagi mengelak ia daripada dicuri.

Presiden Anak Negeri Datuk Henrynus Amin berkata, baru-baru ini kabel telefon di hampir sepanjang Jalan Marakau Ranau dicuri untuk mendapatkan komponen tembaga didalamnya untuk dijual sebagai besi buruk.

Keadaan ini perlu dihentikan dan Henrynus menggesa Telekom Malaysia untuk segera memeriksa, memulihkan atau menanggalkan kabel telefon yang tergantung secara tidak menentu sehingga ia menghalang beberapa akses jalan raya.

“Saya diberitahu daerah lain seperti Kota Belud juga menghadapi masalah di mana kabel telefon dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.”

“Untuk rekod, kejadian di Kg Marakau Ranau sudah dilaporkan kepada Telekom Ranau oleh penduduk setempat tetapi masih tiada tindakan diambil oleh Telekom Malaysia untuk mengeluarkan atau memulihkan kabel yang tinggal,” katanya.

Henrynus yang juga bekas Ahli Parlimen Ranau percaya kejadian di Jalan Marakau Ranau itu bukanlah kerja pencuri tempatan kerana pencuri kabel itu sangat teratur dengan maklumat canggih, tenaga kerja dan peralatan.

“Mereka tahu di mana, bila, apa dan bagaimana untuk mencuri kabel dengan cepat sebelum memuatkannya ke dalam trak dan hilang tanpa jejak.”

“Ia menimbulkan persoalan mengapa pegawai tertinggi di Telekom Malaysia tidak berminat untuk mendapatkan semula kabel telefon yang sudah lama digunakan di semua daerah di Sabah,” jelasnya.

Beliau berkata, dalam kejadian di Kg Marakau, pencuri berjaya diberkas oleh seorang penduduk tempatan yang bertindak selepas dikejutkan dengan bunyi aneh di luar rumahnya.

Katanya, berdasarkan kiriman WhatsApp, penduduk tempatan yang melihat pencuri yang sedang beraksi kemudian menjerit dan bersemuka dengan mereka sebelum memaklumkan jiran-jirannya yang lain.

“Pencuri yang terkejut, dengan pantas meninggalkan tempat kejadian menggunakan kenderaan Axia hitam dan meninggalkan sahaja kabel yang sudah dipotong di tepi jalan.”

Beliau berkata, berdasarkan laporan WhatsApp yang sama sebuah kereta Axia berwarna merah yang berbeza turut dilihat berkeliaran dalam keadaan mencurigakan di tempat kejadian seolah-olah sedang ‘memantau’ keadaan.

“Malangnya saksi tidak melihat nombor plat kerana hari tengah malam dan gelap.”

Henrynus berkata, beliau sudah memaklumkan secara peribadi kepada Ketua Polis Ranau mengenai kejadian itu pada keesokan harinya dan meminta polis meningkatkan pengawasan di kawasan sensitif di mana kabel telefon terdedah kepada kecurian.

Beliau mengesyaki pencuri kabel telefon ini kemungkinan datang daripada kumpulan sindiket jenayah haram yang beroperasi tanpa mendapat hukuman di seluruh Sabah yang mencuri kabel telefon.

Katanya, mereka mempunyai maklumat dalaman yang membolehkan mereka mengenal pasti lokasi di mana kabel tidak lagi digunakan, mencuri dan menjualnya tanpa dikesan atau ditangkap.

Oleh itu Henrynus menggesa polis untuk meningkatkan pengawasan polis di tempat yang terdedah dan juga untuk menyiasat secara proaktif semua pembeli besi buruk atau pusat pengumpulan untuk mengesan pembelian besi buruk tembaga yang sangat luar biasa untuk menangkap pencuri.

Beliau berkata, Telekom Malaysia perlu bertindak segera untuk mendapatkan semula semua kabel yang tidak lagi digunakan untuk mengelak pemotongan sembarangan dan pembaziran kabel telefon tembaga yang berharga.

“Daripada membenarkan pencuri mencuri kabel, adalah lebih baik Telekom Malaysia mengupah kontraktor tempatan untuk mendapatkan semula semua kabel telefon yang tidak lagi digunakan,” tambahnya.

Beliau mencadangkan kabel tembaga yang ditemui dijual secara sah dan secara tender untuk menampung kos.

Bulan lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pintasan memberitahu bahawa Kota Belud adalah daerah yang merekodkan kecurian kabel  tertinggi di Sabah dengan 242 kes daripada 1,915 kes seluruh negeri pada tahun lalu.

Datuk Fairuz Renddan berkata, 242 kes di Kota Belud itu amat membimbangkan. Ini kerana daerah Kota Marudu dan Tuaran mencatat jumlah kes yang rendah iaitu masing-masing 76 dan 61 kes.

Tindakan mencuri atau vandalisme alat komunikasi ini amat dikesali kerana ia memberikan kesukaran kepada penduduk di negeri untuk berkomunikasi dengan baik terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman yang jauh.

Setiap kali kabel dicuri, talian komunikasi akan mengalami gangguan sehingga memberi impak negatif kepada semua penduduk yang terkesan dalam aspek komunikasi.

Semuanya gara-gara kabel dipotong, dicuri dan dijual.

“Jika pemotongan kabel seperti ini berterusan, sampai bilapun apa-apa pembangunan infrastruktur komunikasi tidak akan pernah selesai,” kata Fairuz.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here