Sun, 12 May 2024

HEADLINES :


Sabah catat 4,595 kes penipuan
Published on: Sunday, April 28, 2024
Text Size:

Sabah catat 4,595 kes penipuan
Hajiji berkata penipuan pembelian dalam talian mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,818, diikuti dengan penipuan telefon (1,296), pinjaman tidak wujud (596), pelaburan (586), penipuan cinta (118) dan kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer (181).
Kota Kinabalu: Sabah merekodkan sejumlah 4,595 kes penipuan dalam tempoh tiga tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sebanyak 1,169 kes dilaporkan pada 2021, 1,206 pada 2022 dan 1,818 pada 2023. Sehingga Mac tahun ini, 402 kes penipuan dilaporkan.

Hajiji berkata penipuan pembelian dalam talian mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,818, diikuti dengan penipuan telefon (1,296), pinjaman tidak wujud (596), pelaburan (586), penipuan cinta (118) dan kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer (181).

“Jumlah aduan juga menunjukkan trend semakin meningkat setiap tahun, fenomena yang dialami di seluruh dunia termasuk di negara kita,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Adun Dilantik Datuk Seri Yong Teck Lee di Dewan Undangan Negeri, Jumaat.

Tambahnya, aktiviti penipuan sama ada dalam talian atau luar talian adalah di bawah bidang kuasa polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi berkaitan, bergantung kepada jenis penipuan yang dilakukan.

“Pelbagai tindakan telah dan sedang diambil oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi mengawal kes penipuan yang semakin meningkat.”

Tentang usaha Kerajaan Persekutuan, tindakan termasuk penganjuran kempen kesedaran jenayah komersial, penubuhan portal SemakMule (https://semakmule.rmp.gov.my/) dan penganjuran Jelajah Anti–Scam Kebangsaan Peringkat Negeri 2023.

Sebuah drama bersiri televisyen, Cyber999 Docudrama, berdasarkan 26 kisah benar, menggambarkan pelbagai modus operandi jenayah siber dan insiden berkaitan keselamatan siber.

“Siri ini disiarkan dari Mac hingga Mei 2023 di TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Penerbitan drama ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran penonton agar tidak terpedaya dan menjadi mangsa penipuan, serta mengekang perkhidmatan SMS palsu,” katanya.

Bagi Kerajaan Negeri pula, beliau berkata perhatian khusus diberikan kepada isu penipuan dalam talian sejak 2022, menerusi Program Kesedaran Jenayah Siber Dalam Kalangan Penjawat Awam.

“Setakat ini enam program telah dilaksanakan di sekitar Keningau, Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu melibatkan kira-kira 700 penjawat awam.

Tambahnya, rancangan juga sedang dibuat untuk memperluas inisiatif ini kepada orang ramai melalui usaha kolaboratif dengan rakan strategik.

“Secara keseluruhannya, sejak 2022, Kerajaan Negeri telah melaksanakan 15 latihan atau program kesedaran berkaitan keselamatan siber,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here