Tue, 30 Apr 2024

HEADLINES :


Lelaki Filipina pamer lambang kumpulan tak sah kena 2 minggu
Published on: Tuesday, April 09, 2024
By: Jo Ann Mool
Text Size:

Lelaki Filipina pamer lambang kumpulan tak sah kena 2 minggu
Dia ditahan kerana terlibat dengan pertubuhan yang tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan, kata pihak pendakwaan.
Kota Kinabalu: Seorang warga Filipina tanpa dokumen dijatuhi hukuman penjara dua minggu pada Isnin kerana mempamerkan lambang kumpulan yang tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Mazlan Marunsing, 24, mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie melakukan kesalahan itu pada 17 Jan di hadapan sebuah restoran kari di Indah Permai, Manggatal.

Mengikut pertuduhan, Mazlan dengan sengaja mempamerkan lambang ‘Kappa Sigma Inanam Alpha Kappa Rho (AKP) 1973’ dan perkataan lain yang dicetak pada kedua-dua belah baju-Tnya.

Pertuduhan di bawah Seksyen 50(1) Akta Pertubuhan 1966 membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM3,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah diberitahu oleh pihak pendakwaan bahawa Mazlan ketika diperiksa polis, gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

Mazlan juga didapati memakai baju-T dengan perkataan sedemikian di kedua-dua belah baju.

Dia ditahan kerana terlibat dengan pertubuhan yang tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan, kata pihak pendakwaan.

Tidak diwakili, Mazlan merayu hukuman ringan.

Mahkamah memerintahkan Mazlan menjalani hukuman penjara itu bermula Isnin dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas itu.

Dalam kes berasingan, tiga lelaki didenda RM1,500 atau dua minggu penjara setiap seorang kerana merosakkan pagar penghadang dan peralatan rakaman CCTV sebuah pusat komersial di Inanam.

Joerry Jolombi, 36, Martin Malubi Jr, 33, dan Lawrencely Laitin, 37, mengaku melakukan khianat terhadap hartanah kepunyaan k SCP Parking Sdn dan menyebabkan kerugian RM1,498 di pintu masuk parkir Blok A, Inanam Capital.

Kesalahan itu termaktub di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Mahkamah diberitahu, sebelum kejadian, pengadu melihat sebuah kereta dinaiki lima orang yang hendak keluar dari kawasan itu tetapi gagal melepasi pagar

penghadang kerana pemandunya enggan ke kaunter untuk membayar tiket parkir.

Pemandu itu meminta bantuan pengadu untuk membuat pembayaran tetapi pengadu enggan.

Akibatnya, pemandu dan dua penumpang lain berang dan merosakkan peralatan sebelum meninggalkan kawasan itu.

Inspektor Navind Kumar Vijayan melakukan pendakwaan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here