Sun, 19 May 2024

HEADLINES :


Rayuan untuk tangguh persijilan MSPO
Published on: Wednesday, March 27, 2019
By: Leonard Alaza
Text Size:

Rayuan untuk tangguh  persijilan MSPO
KOTA KINABALU: Dengan tinggal lapan bulan sebelum tarikh akhir Persijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MSPO), ramai penanam kelapa sawit di Sabah masih bergelut untuk keperluan itu dan merayu agar ia ditangguhkan sehingga keadaan pasaran bertambah baik.

Mereka juga tertanya-tanya apa kebaikan persijilan MSPO yang mandatori itu memandangkan Kesatuan Eropah kekal bertegas untuk mengharamkan minyak sawit Malaysia menjelang 2020 berhubung isu kelestarian dan kecewa dengan sesetengah keperluan yang mereka mesti penuhi di bawah MSPO.

Menurut mereka, komitmen Kerajaan untuk menyediakan kerja-kerja asas bagi persijilan menjelang 31 Disember, khususnya dalam kalangan pekebun-pekebun kecil di seluruh negara, juga tidak memenuhi jangkaan.

Salah seorang pengusaha kelapa sawit berkata ketika ia mendapatkan bantuan Jabatan Bomba untuk memperakukan depot minyaknya, seperti yang dikehendaki oleh MSPO, ia ditolak dengan alasan Bomba hanya memperakui bangunan, bukannya depot simpanan diesel.

Antara keperluan ketat di bawah MSPO ialah pekerja mestilah berpakaian sesuai, papan-papan tanda maklumat di seluruh estet mengenai kawasan-kawasan bahaya dan penyediaan surau untuk pekerja-pekerja Muslim.

“Semua ini membabitkan perbelanjaan besar, belum lagi termasuk gaji minimum tetapi akhirnya kami tidak pasti jika Mat Salleh (orang Eropah) akan beli minyak sawit kita.”

Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok, menyatakan komitmen ini pada penghujung tahun lalu ketika dia mengumumkan bahawa Kementeriannya telah memperuntukkan RM30 juta untuk memantau persijilan itu, khususnya bagi pekebun-pekebun kecil.

Ramai pekebun kecil di Sabah mendakwa berdepan cabaran dalam usaha untuk mendapatkan persijilan itu. Memikirkan bahawa masa tidak memihak kepada mereka, ramai merayu tarikh akhir itu ditunda.

Setakat 31 Oktober tahun lepas, Kok berkata hanya kira-kira 22 peratus daripada 5.8 juta hektar kawasan kelapa sawit di negara ini telah mendapatkan persijilan MSPO, yang jauh daripada sasaran.

Beliau juga telah berkata bahawa di Sabah, pencapaian persijilan MSPO adalah kurang menggalakkan kerana hanya 1.2 peratus daripada 2,613.25 hektar dari keseluruhan 221,148.49 hektar tanah yang ditanami kelapa sawit oleh pekebun-pekebun kecil telah mendapat persijilan MSPO sehingga Julai tahun lepas.

Kok berkata kerajaan akan membayar bagi persijilan itu asalkan pekebun-pekebun kecil patuh kepada peraturan dan bahawa mereka juga akan diberi geran tahunan untuk membantu mereka mendapatkan persijilan.

Beliau memberi amaran bahawa selepas tarikh akhir itu, produk-produk dari pekebun-pekebun kecil yang tidak mendapat persijilan tidak akan diterima.

Incorporated Society of Planters (ISP), sebuah badan profesional berusia 100 tahun, mempertikaikan bahawa sementara konsep dan tujuan kelihatan bagus di atas kertas, kerajaan perlu praktikal, khususnya apabila membabitkan pekebun-pekebun kecil individu di Sabah dan Sarawak.

“Berdasarkan rekod kerajaan, terdapat kira-kira 650,000 pekebun kecil individu di negara ini. Saya ingin bertanya kepada mana-mana menteri Kabinet berapa ramai dalam kalangan mereka yang pernah bertemu pekebun-pekebun kecil ini. Apa yang saya katakan ialah bahawa Kerajaan perlu adil dan praktikal.

“Ladang-ladang besar mempunyai kakitangan (untuk melakukan semua kerja-kerja berat dokumentasi untuk persijilan). Tapi bagaimana dengan pekebun-pekebun kecil? Benar, Kerajaan telah berjanji untuk membantu mereka tapi mereka sendiri tidak cukup kakitangan,” kata pengerusi ISP, Datuk Daud Amatzin.

Beliau menegaskan antara banyak cabaran dalam proses itu ialah ramai pekebun kecil di Sabah tersebar luas di lokasi terpencil dan terasing.

“Adakah ramai yang tahu di mana Long Pasia atau bagaimana untuk sampai ke sana? Maksud saya ialah lokasi serta logistik pekebun kecil di Sabah perlu dipertimbangkan secara serius oleh Kerajaan.

“Ia sudah cantik di atas kertas bahawa ia berhasrat untuk mencapai sasaran 100 peratus pensijilan tetapi biarlah praktikal kerana tanah kita besar dan pekebun kecil ini ada di mana-mana, ramai daripadanya berada di kawasan terpencil,” katanya.

Satu lagi perkara yang perlu diteliti oleh Kerajaan, katanya, adalah mengenai motivasi pekebun kecil untuk mendapat persijilan.

“Ia adalah agenda nasional, jadi kita tidak berbalah mengenainya. Tetapi pekebun kecil harus diberi motivasi. Jangan lupa bahawa mereka menjual FFB (tandan buah segar). Mereka tidak jual minyak,” katanya.

Menurut Daud, yang juga presiden Institut Pengurusan Perladangan Antarabangsa, malah proses dokumentasi menawarkan hati pekebun kecil di kawasan luar bandar.

“Jangan jangka mereka akan faham terutama jika semuanya dalam bahasa Inggeris. Dan jangan jangka mereka melakukannya kerana mereka tidak mempunyai orang yang melakukan untuk mereka, tidak seperti ladang besar.

Kerajaan telah berjanji untuk membantu. Tetapi adakah ia meminta orang ramai berhubung dengan mereka?” soalnya.

Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Datuk M. Nagarajan dilaporkan berkata bagi pekebun kecil yang mengusahakan ladang seluas 40 hektar dan ke bawah, Kerajaan akan menampung 100 peratus kos pengauditan dan membina kemudahan penyimpanan untuk racun perosak dan baja toksik, pembelian peralatan pelindung diri, latihan dan dokumentasi.

Beliau berkata proses untuk mendapatkan pensijilan MSPO memerlukan antara tiga dan enam bulan, merangkumi penyediaan dokumen, pematuhan audit dan langkah penambahbaikan sebelum sijil dikeluarkan.

Daud berhujah bahawa cabaran yang lebih besar bukanlah kos, tetapi kemampuan Kerajaan untuk menjangkau lebih dari setengah juta pekebun kecil untuk mencapai sasaran pensijilannya.

Beliau berkata bahawa beliau menyokong pensijilan MSPO tetapi menggesa Kerajaan untuk melakukannya secara padu termasuk melibatkan kepakaran dan keupayaan ISP.

Ia dilaporkan bahawa di Sarawak, Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (Doppa), menurut Kok, bersetuju untuk membantu kementeriannya dengan pergi ke pedalaman untuk menjangkau pekebun kecil bagi menjelaskan kepada mereka kepentingan mendapatkan pensijilan MSPO.

Mengakui cabaran-cabaran ini, Daud berkata Kerajaan harus mempertimbangkan untuk melanjutkan tarikh akhir bagi memastikan ia mencapai sasaran.

Sementara itu, ahli lembaga ISP M. R. Chandran berkata organisasi itu menyedari kepayahan pekebun kecil di lapangan dalam usaha mendapatkan sijil, terutama di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata beberapa maklum balas yang mereka terima kira-kira enam bulan lalu termasuk tidak mengetahui tentang proses itu.

“Ada di antara mereka yang memberitahu kami bahawa tidak ada yang pernah datang untuk memberi penerangan,” katanya.

Beliau berkata beberapa persoalan lain yang ditanya oleh pekebun kecil adalah tentang apa yang mereka akan dapat daripada skim ini.

“Di akhirnya, mereka akan menanyakan hal sama yang berlaku kepada RSPO (Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari) – “Adakah saya akan mendapat kembali perbelanjaan tambahan yang saya tanggung? Adakah kilang bersedia membayar premium tambahan?” - Mereka tidak melihat ganjarannya. Namun ia wajib,” katanya.

Satu lagi soalan yang dibangkitkan kepada ISP adalah mengenai kredibiliti standard MSPO di mata pembeli.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here