Kota Kinabalu: Pertubuhan Gabungan Rakyat Sabah (Agaras) akan membuka ‘booth’ semasa perayaan Pesta Kaamatan di Tambunan dan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Hongkod Koisaan Penampang, Mei ini.
Menurut Presidennya Micheal Frederick, tujuan mewujudkan booth tersebut adalah untuk membolehkan orang ramai memberi sokongan seterusnya sumbangan seikhlas hati kepada Tabung Penyiapan Gereja katolik St Catherine Laboure, Putatan.
Orang ramai juga boleh membuat sumbangan kasih melalui pemindahan online ke akaun RTDKK St. Catherine Laboure, Putatan di nombor akaun 510189007514.
Menurutnya, pungutan melalui Agaras setakat ini iaitu dalam tempoh 10 hari (20-30 April 2024) adalah berjumlah RM103,767.40 dan sasaran derma oleh Agaras adalah berjumlah RM1 juta dalam tempoh 3 bulan.
Katanya, gereja tersebut kini hampir 70 peratus siap walaupun menghadapi kekangan pembiayaan.
“Kita terpanggil untuk membantu dan bekerjasama dengan jawatankuasa komitee gereja yang diketui oleh Datuk Stephen Sondoh untuk menyiapkan gereja itu,” katanya.
Sejumlah RM7.32 juta sudah dibelanjakan untuk pembinaan gereja itu dan sumber kewangan selain daripada sumbangan individu dan orang ramai juga pemberian gran tahunan dari kerajaan negeri sebanyak RM200,000.
Projek pembinaan gereja itu bermula 12 Januari 2012 dengan pembiayaan dianggarkan sebanyak RM10.47 juta untuk menyiapkan bangunan itu.