Kota Kinabalu: Sabah FC melakar kemenangan pertama musim ini dalam saingan Liga Super dengan kemenangan 3-2 ke atas Kelantan Darul Naim FC di Stadium Sultan Mohammad IV malam Jumaat lalu.
Semua mata tertumpu kepada Ramon Machado dan Darren Lok untuk menjaringkan gol pertama pasukan pada musim baharu, sebaliknya pemain pertahanan Gabriel Peres yang menjaringkan gol pembukaan daripada hantaran jauh Kwang Min Ko pada minit ke-25.
Pasukan tuan rumah mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-32 selepas bola terkena tangan Daniel Ting di dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, sepakan penalti Chadrack Muzungu Lukombe dibaca dengan baik oleh penjaga gol Sang Badak, Khairul Fahmi Che Mat apabila dia merebahkan badan ke sebelah kiri untuk menampan sepakan tersebut.
Kelantan Darul Naim FC tampil garang pada separuh masa kedua dan tidak lama kemudian menyamakan kedudukan menerusi tandukan Kim Likwan daripada satu sepakan sudut pada minit ke-55.
Kegembiraan penyokong tuan rumah tidak lama apabila pemain gantian Stuart Wilkin meledak gol dari jarak kira-kira 30 ela untuk mengembalikan kelebihan Sabah FC lapan minit kemudian.
Ramon kemudian menggandakan kelebihan selepas dia menolak masuk hantaran Gabriel ke dalam gawang pada minit ke-69.
Bae Kyeonghwan berjaya menjaringkan gol kedua tuan rumah dengan tandukan pada masa kecederaan tetapi sudah terlambat apabila Sabah FC bertahan untuk memastikan mereka membawa pulang tiga mata.
Datuk Ong Kim Swee berkata selepas perlawanan itu beliau gembira pemain berjaya menyelesaikan tugas tetapi tidak terlalu berpuas hati dengan gol yang dilepaskan daripada bola mati.
“Kami meletakkan diri kami dalam situasi sukar malam ini kerana kami mencipta banyak peluang sebelum menemui gol ketiga.
“Kami perlu belajar bahawa kami tidak boleh terleka walaupun kami mendahului kerana ia akan meletakkan kami di bawah tekanan yang tidak sepatutnya.
“Bagaimanapun, tiga mata lebih penting daripada apa yang berlaku di atas padang. Kami sangat berpuas hati dengan kemenangan dan gol, tetapi saya tidak gembira dibolosi dua gol daripada bola mati, dan kami perlu memperbaikinya,” katanya.
Beliau juga berkata Kelantan Darul Naim FC bermain dengan baik dan percaya pasukan lain yang datang untuk bermain di Kota Bahru juga akan merasai kesukaran itu.
Sementara itu, perlawanan Sabah FC yang seterusnya adalah menentang Kuching City FC di sini di Stadium Likas pada 25 Mei.