Tue, 14 May 2024

HEADLINES :


Wanita mengaku ambil pil gugur kandungan sehingga bayi mati
Published on: Saturday, May 25, 2019
By: Umairah Ahmad
Text Size:

Wanita mengaku ambil pil gugur  kandungan  sehingga bayi mati
Kota Kinabalu: Seorang wanita berumur 21 tahun, yang mengaku bersalah mengambil pil gugur kandungan yang menyebabkan anaknya maut selepas dilahirkan pada tahun lepas, pada Jumaat dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama tiga bulan (empat jam sehari) oleh Mahkamah Majistret, di sini.

Marlyn Joselyn mengaku di hadapan Majistret Afiq Agoes yang dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan dengan niat hendak mengelakkan anak daripada dilahirkan hidup atau hendak menyebabkan ia mati, di sebuah rumah di sebuah kampung di Penampang pada pukul 10 malam 26 Ogos 2018.

Peguam dilantik Jul Hamri Jumhani, yang mewakili Marlyn, memberitahu mahkamah bahawa Marlyn bersendirian apabila dia mendapati dirinya hamil dan dia menghubungi lelaki yang dipercayai bapa anak itu.

Marlyn pada mulanya dipujuk oleh lelaki itu, yang dia kenali semasa bekerja di semenanjung, untuk menyimpan kandungannya tetapi kemudian, lelaki itu mendesaknya mengambil pil tersebut.

Jul Hamri meminta hukuman ringan bagi Marlyn, yang kini menganggur, dan meminta supaya tertuduh dikenakan bon kelakuan baik kerana dia masih amat muda apabila melakukan kesalahan itu dan dia juga ingin melanjutkan pelajaranya.

Inspektor Lim Swee Beng yang menjalankan pendakwaan, menyerahkan perkara itu kepada mahkamah.

Apabila ditanya oleh Afiq, Marlyn berkata dia baru saja berhenti kerjanya di sebuah pusat membeli-belah di sini dan dia berhasrat untuk melanjutkan pelajaranya.

Marlyn juga memberitahu mahkamah bahawa dia sudah lama tidak berjumpa dengan lelaki tersebut, yang tidak tinggal di Sabah.

Perintah Kehadiran Wajib, yang diperuntukkan di bawah Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954, adalah alternatif kepada hukuman penjara yang dikenakan oleh mahkamah kepada pesalah, tanpa menjejaskan kehidupan pesalah dalam masyarakat.

Perintah itu memerlukan seseorang hadir ke sebuah pusat ditetapkan setiap hari dan melakukan kerja wajib selama satu tempoh tidak melebihi tiga bulan dan tidak lebih daripada empat jam sehari di bawah penyeliaan pegawai Pusat Kehadiran Wajib.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here