Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Umno siap sedia menangi semula Kimanis
Published on: Sunday, August 18, 2019
By: Ricardo Unto
Text Size:

Umno siap sedia menangi semula Kimanis
TUARAN: Umno Sabah sedia untuk berusaha sedaya upaya dan memenangi semula kerusi parlimen Kimanis jika pilihan raya kecil dipanggil.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Kimanis merupakan kerusi Umno yang dipegang oleh Datuk Seri Anifah Aman, yang keluar untuk menjadi wakil rakyat bebas selepas pilihan raya umum Mei 2018.

Mahkamah Pilihan Raya pada Jumaat lepas mengisytiharkan keputusan pilihan raya kawasan parlimen itu sebagai batal dan tidak sah selepas memutuskan bahawa wujud kejanggalan dalam proses pilihan raya yang menjejaskan keputusan pilihan raya itu.

Mohamad berkata Umno menerima dan menghormati keputusan mahkamah, dan akan menunggu proses selanjutnya dengan kemungkinan rayuan terhadap keputusan itu.

“Bagaimanapun, Umno Sabah mesti mengambil langkah-langkah persediaan untuk memastikan jentera kami sedia untuk pilihan raya kecil,” katanya selepas mengahdiri mesyuarat bahagian Umno Tuaran, di sini, Sabtu.

“Persediaan awal mesti dibuat dan jentera parti kami mesti diaktifkan.

“Saya pasti Datuk Seri Bung Moktar Radin (Ketua Umno Sabah) dan ahli jawatankuasa lain akan memanggil mesyuarat mengenai perkara ini.”

Mohamad berkata beliau yakin bahawa bekas komponen parti Barisan Nasional (BN) di Sabah, termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), akan menyokong Umno untuk merebut semula kerusi Kimanis.

Sekiranya pilihan raya kecil dipanggil, katanya, Umno menjangkakan PBS, iaitu sebahagian blok Pembangkang Sabah, untuk membantu menyokong calon mereka seperti yang mereka lakukan pada pilihan raya kecil Sandakan.

Umno menyokong calon PBS dalam pilihan raya kecil itu.

“Kimanis adalah sebuah pangkalan Umno. Kami boleh berusaha untuk memenanginya semula,” katanya apabila ditanya mengenai kekuatan Umno di kawasan itu sebab kebanyakan bekas pemimpinnya telah berpindah ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Warisan Sabah (Warisan), sementara Anifah sendiri menjadi bebas.

Mohamad berkata, pemergian ramai bekas “ketua perang” parti telah memberi nafas baharu kepada Umno di Sabah kerana pemimpin muda yang ditindas oleh orang lama kini muncul dan mengukuhkan parti.

Anifah, yang memenangi kerusi itu sebanyak 156 undi menentang calon Warisan, Datuk Karim Bujang, dijangka merayu dalam tempoh 14 hari.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here