Sat, 27 Apr 2024

HEADLINES :


'Arena muzik Sabah perlu perhatian tinggi'
Published on: Friday, November 15, 2019
By: Kazalinah Kamaludin
Text Size:

'Arena muzik Sabah perlu perhatian tinggi'
ARENA muzik Sabah perlu diberikan perhatian tinggi sekiranya cadangan penubuhan sebuah badan kawal selia bagi melindungi kepentingan penggiat industri dapat direalisasikan.

Presiden Persatuan Komposer dan Pembikin Video Muzik Sabah (Score) Asmin Mudin (gambar) berkata badan khas terbabit mesti mengambil kira bahawa seni muzik di Sabah dan Sarawak berbeza dengan semenanjung.

“Sabah dan Sarawak mempunyai berpuluh bahasa dan loghat. Jati diri pengkarya dan pasaran muzik tempatan kami masih kental di sini.

“Semua akta dan portfolio menteri yang berkaitan seni muzik tiada di peringkat negeri menyebabkan kami (penggiat seni Sabah) dan bahasa muzik kami di sini terpinggir sejak merdeka lagi. Pastikan ini tidak berlaku lagi,” katanya kepada Hiburan Ekspres, di Kota Kinabalu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri sesi dialog awam bersama penggiat seni muzik tempatan di Putrajaya, baru-baru ini, dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji cadangan penubuhan sebuah badan khas bagi mengawal selia industri muzik negara, seperti Perbadanan Kemajuan Filem (Finas) untuk industri perfileman.

Menurut komposer prolifik itu, badan kawal selia terbabit juga perlu menjadi jambatan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung secara setara dalam misi mengindustrikan seni muzik Malaysia.

Asmin berkata, pada masa ini artis Sabah dibelenggu pelbagai masalah, antaranya, isu pembayaran royalti, apabila kadar pembayaran oleh badan-badan perlesenan seperti Music Rights Malaysia Berhad (MRM), Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Public Performance Malaysia (PPM), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Performers and Artists Rights (PRISM) – kini sudah ditutup – gagal memuaskan hati ahli-ahlinya, khususnya penggiat di Sabah dan Sarawak.

“Di Sabah Sarawak keadaannya jauh lebih teruk sejak 30 tahun lalu, di mana lagu-lagu pop etnik Sabah yang amat popular hanya dibayar antara RM60 dan RM300 setahun. 

“Apabila kami Score datang bertanya kepada badan pelesenan ini apakah mekanisme pengiraan, mereka gagal menjawab. Resolusinya, Sabah dan Sarawak akan menubuhkan badan pelesenan karya muziknya sendiri. 

“Saya harap badan kawal selia industri seni muzik ini akan menyokong kami di Sabah Sarawak,” katanya.

Isu kedua, kata komposer Sayang Kinabalu itu, jurang kadar bayaran artis tempatan Sabah dan Sarawak dengan semenanjung terlalu jauh.

“Bayangkan artis tempatan popular di Sabah dibayar RM2,500 manakala dan artis popular semenanjung RM80,000. 

“Saya harap badan kawal selia ini nanti akan membantu merapatkan jurang ini, apatah lagi perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan akan menghapus terus peluang-peluang artis Malaysia menjelang 2030.

“Ini ekoran faktor jarak akan menjadikan kadar bayaran artis negara jiran itu lebih murah berbanding sekarang apatah lagi populariti artis mereka menguasai nusantara,” katanya.

Isu ketiga yang perlu diberi perhatian, tambahnya, adalah dari segi pembangunan teknikal dan praktikal kepada home studio di Sabah.

“Seperti Finas, saya harap badan ini akan menyediakan kuota pinjaman modal kepada Sabah dan Sarawak untuk membeli peralatan serta aktiviti dan bengkel yang boleh memberi manfaat kepada penggiat seni di kedua-dua negeri ini,” katanya.

Katanya lagi, penubuhan badan kawal selia itu kelak, andainya direalisasikan, juga perlu memperuntukkan kerusi lembaga pengarah untuk Sabah dan Sarawak. 

“Pemilihan ahli lembaga pengarah mestilah pemain seni tulen yang bermastautin di Sabah dan Sarawak agar akrab dan peka terhadap persekitaran seni di kedua-dua negeri ini.

“Dengan adanya badan ini, diharapkan ia dapat bertindak selaku pemangkin dalam usaha menjadikan Sabah sebagai pusat industri muzik Malaysia menjelang 2030,” katanya.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here