Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Darell minta BN terangkan mengenai Pas Residen Sementara Sabah
Published on: Monday, January 13, 2020
By: Larry Ralon
Text Size:

Darell minta BN terangkan mengenai Pas Residen Sementara Sabah
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking (gambar) berkata pembangkang Barisan Nasional (BN) perlu menjelaskan kepada rakyat Sabah mengenai Pas Residen Sementara Sabah (Press) yang ia cadang untuk laksanakan di Sabah ketika ia masih berkuasa.

“Bagi saya, mereka harus menerangkan terlebih dahulu apa Press (seperti yang telah dicadangkan semasa kerajaan BN sebelum ini) kerana penjelasan mengenai Pas Sementara Sabah (PSS) telah diberikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai pandangannya berhubung PSS, selepas melancarkan Gelsoft Sabah di Hotel Marriott, di sini, Sabtu lepas.

“Bagi saya, ia (PSS) perlu diperhalusi agar sesuai dengan apa yang rakyat Sabah dan lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri mahu untuk menyelesaikan masalah pendatang (tanpa izin) yang kita warisi daripada kerajaan terdahulu,” kata Leiking.

Beliau berkata setakat ini, PSS tidak dibawa ke Kabinet Persekutuan (untuk kelulusan) dan, oleh itu, Kerajaan Persekutuan harus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan memperhalusinya.

Darell berkata beliau juga membangkitkan kebimbangannya kepada Kabinet Persekutuan mengenai keperluan untuk menelitinya sebelum PSS dilaksanakan.

“Bagi Datuk Shafie dan Kerajaan Negeri, saya tidak fikir mereka akan bersetuju sewenang-wenangnya. Mereka akan memastikan kepentingan Sabah diutamakan.

“Saya telah membangkitkan kebimbangan saya, yang turut merupakan kebimbangan yang diketengahkan oleh Datuk Shafie. Kami ingin mengetahui butiran yang tepat. Kami tidak boleh membenarkan sesuatu yang tidak melengkapi apa yang ingin dilakukan oleh Ketua Menteri untuk negeri kita,” katanya, sambil menambah, setakat ini penjelasan yang diberikan adalah baik tetapi masalahnya adalah ia telah dimanipulasi oleh orang ramai.

“Cuba fikirkan, kita ada masalah ini, apa yang akan kita lakukan?

“Telah dinyatakan bahawa PSS sebenarnya merupakan idea yang telah dibincangkan dan dipersetujui oleh kedua-dua jawatankuasa yang dibentuk di bawah cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah oleh kerajaan terdahulu.

“Jawatankuasa pemandu utama dipengerusikan bersama oleh Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dan kemudian Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi manakala jawatankuasa teknikal dipengerusikan oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan,” katanya.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak pernah terlaksana kerana Kerajaan BN tumbang pada pilihan raya umum ke-14.

Leiking berkata semua orang perlu bersabar dan menunggu butiran penuh diberikan oleh Kerajaan Persekutuan mengenai cadangan pengeluaran PSS untuk menggantikan tiga jenis dokumen, iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Surat Bancian.

“Buat masa ini, Kerajaan Persekutuan, seperti yang disebutkan oleh Datuk Shafie, sebenarnya belum lagi memberi keterangan penuh kepada Kerajaan Negeri.

“Bagi mereka yang mempunyai banyak pendapat mengenai sesuatu yang belum dimuktamadkan, mohon bersabar.

“Anda telah membenarkan rakan-rakan anda, yang berada di kerajaan terdahulu dan yang kalah dalam pilihan raya yang lalu, untuk terus bercakap buruk mengenai sesuatu yang mereka sendiri cadangkan.

“(Sekurang-kurangnya) di sini kita cuba mengatakan apa yang mereka (BN) cadangkan (Press) adalah penyelesaiannya, jadi mari kita memperbaiki penyelesaian ini. Kenapa kita tidak ambil DNA dan biometrik mereka dan menukar dokumen mereka sekarang iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Surat Bancian,” katanya.

Beliau berkata selama bertahun-tahun, orang yang sama dari kerajaan terdahulu yang mengadu (sekarang) tidak pernah melakukan apa-apa selain RCI yang mereka tidak pernah dilaksanakan.

“Saya tahu ramai akan memainkan isu ini. Mereka suka memainkan isu ini kerana sesuai dengan naratif mereka. Mereka tidak mahu bercakap tentang pembangunan kerana mereka tidak melakukan apa-apa pembangunan.

“Sekarang mereka mengatakan (itu dilakukan oleh) Warisan. Ia bukan Warisan, ia adalah penyelesaiannya. Sekurang-kurangnya, Datuk Shafie dan Kerajaan Persekutuan cuba mencari penyelesaian,” katanya, sambil menambah bahawa apa yang diperlukan sekarang adalah maklumat terperinci mengenai PSS.

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here