Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Mural gergasi penghargaan kepada Kobe Bryant
Published on: Monday, February 24, 2020
By: Sherell Jeffrey
Text Size:

Mural gergasi penghargaan kepada Kobe Bryant
KOTA KINABALU: Sudah hampir sebulan sejak kematian tragik bintang NBA, Kobe Bryant dalam insiden helikopter terhempas 26 Januari lalu.

Bagaimanapun, bakat hebat beliau terus dihargai peminat sukan bola keranjang di seluruh dunia, termasuk pelukis jalanan yang melukis mural sebagai penghargaan kepadanya dan anak perempuannya Gianna, yang turut maut dalam insiden itu, serta tujuh yang lain.

Salah satu mural seperti itu boleh ditemui di gelanggang bola keranjang Taman Kolombong, di sini.

Mural itu bukan sekadar satu penghormatan kepada juara NBA lima kali dan pemenang dua pingat emas Olimpik, tetapi juga hadiah ulang tahun seorang ibu kepada anaknya yang merupakan peminat gegar berat Bryant.

Dibantu rakan zaman kanak-kanak, Angelo Sagoli Olid, mereka berjaya melukis mural yang berukuran hampir separuh saiz gelanggang bola keranjang itu dalam masa dua minggu.

“Pada 30 Januari lalu, anak saya Andrew menghantar pesanan teks kepada saya bertanyakan jika saya boleh melukis satu lukisan besar Kobe dan anak perempuannya,” kata Clara Joan Wong, guru bahasa Inggeris di SRS Datuk Simon Fung di Kingfisher, di sini.

“Andrew berkata bola keranjang menyelamatkan nyawanya dan ikonnya adalah Kobe Bryant. Jadi pada hari kematian Kobe, dia merasakan hidupnya juga berakhir, ikonnya meninggal dunia.

“Dia sangat terkesan oleh berita kematian idolanya itu sampai ke tahap meminta saya melukis gambar Kobe Bryant. Dia juga mempunyai tatu gambar Kobe di dadanya,” katanya.

Clara berkata dia mengambil masa untuk memberikan jawapan tetapi dua minggu lalu pada hari Jumaat, dia akhirnya datang ke gelanggang bola keranjang itu dengan membawa berus dan mula membuat lakaran.

“Kemudian pada petang Sabtu, saya kembali untuk meneruskan kerja menyiapkan lakaran dan ketika itu saya bertemu Angelo yang menyarankan saya menggunakan sistem grid untuk hasil lebih baik. Saya memberitahunya bahawa saya tidak mempunyai masa untuk semua ini dan jadi dia menawarkan untuk membantu,” katanya ketika ditemui Harian Ekspres, di sini, baru-baru ini.

“Lakaran asas saya tidak setanding dengan apa yang dilakukan oleh Angelo. Saya hanya menggnakan berus dan membuat lakaran bebas,” katanya.

Pada Ahad, Angelo meminta bantuan daripada remaja lain yang kerap bermain bola keranjang di gelanggang itu untuk menarik grid dan selepas menggambar grid, Angelo membuat lakaran utama Gianna dan Kobe.

“Saya melihat ibu Andrew membuat lakaran asas potret dan saya mendapati ia tidak seimbang jadi saya mencadangkan penggunaan sistem grid kepadanya,” kata Angelo.

Beliau berkata sistem grid membolehkan pelukis memberi tumpuan terutamanya kepada setiap petak kecil yang akan memberitahu anda secara tepat bagaimana untuk melakukannya.

Lihat muka 2





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here