Sat, 27 Apr 2024

HEADLINES :


Sabah terima peralatan kesihatan daripada China
Published on: Monday, March 30, 2020
Text Size:

Sabah terima peralatan  kesihatan daripada China
MOHD Shafie (kedua dari kanan) dan Liang (kiri) ketika majlis penyerahan barangan bantuan itu. Turut kelihatan ialah Liew (kedua dari kiri) serta yang lain.
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah pada Ahad menerima bantuan beberapa peralatan kesihatan termasuk penutup hidung dan mulut daripada kerajaan China yang dibawa menggunakan pesawat khas.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kesemua bantuan peralatan kesihatan itu akan diagihkan untuk kegunaan barisan hadapan termasuk para doktor dan jururawat yang bertugas bagi memerangi penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

“Bantuan ini adalah hasil kerjasama antara Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu dengan Datuk Christina Liew (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah).

“Kita juga telah maklumkan kepada Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin (Tun Hussein) tentang perkara ini termasuk bantuan kepakaran dari China.

“(Bantuan kepakaran China) ini untuk membolehkan supaya sekurang-kurangnya para doktor dan jururawat yang ada dapat dilatih tentang bagaimana menangani masalah (Covid-19) ini,” katanya dalam sidang media, di sini.

Beliau bekata demikian kepada pemberita selepas menerima barangan bantuan berkenaan daripada Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Liang Caide di Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini.

Mengulas kekurangan reagent atau bahan uji kaji bagi Covid-19 di Sabah, Mohd Shafie berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan khususnya Jabatan Kesihatan Sabah untuk mengetahui keperluan kerajaan negeri.

Kerajaan Sabah optimis untuk menyediakan peralatan terbabit bagi memudahkan jabatan berkenaan menjalankan ujian pengesanan Covid-19 di negeri ini, katanya.

Baru-baru ini, Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi memaklumkan Makmal Kesihatan Kota Kinabalu tidak lagi boleh menjalankan ujian pengesanan Covid-19 susulan kekurangan reagent.

Mengulas situasi COVID-19 di Sabah, Mohd Shafie berkata, keadaan di negeri ini masih lagi terkawal, namun, kerajaan negeri ingin mengingatkan rakyat Sabah supaya terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan wabak itu dapat ditangani sepenuhnya.

Sementara itu, Liang berkata, pihaknya berharap bantuan bekalan peralatan kesihatan itu akan dapat membantu Sabah dalam memerangi Covid-19 selain sebagai mesej penghargaan China kepada kerajaan Sabah dan rakyatnya.

“Ketika China menghadapi detik sukar dalam memerangi Covid-19, kami menerima sokongan begitu berharga daripada kerajaan Sabah dan rakyatnya,” katanya sambil menambah sumbangan seterusnya akan tiba secara berperingkat. – Bernama

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here