Sat, 27 Apr 2024

HEADLINES :


Kembalikan mandat kepada rakyat: Rosnah
Published on: Friday, June 26, 2020
By: Iskandar Dzulkifli
Text Size:

Kembalikan mandat kepada rakyat: Rosnah
PAPAR: Kerajaan harus menimbang pembubaran Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum (PRU) yang merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (gambar), berkata mengembalikan mandat kepada rakyat adalah jalan yang diperlukan bagi mewujudkan kerajaan stabil dan kukuh.

Katanya, biar rakyat tentukan pilihan mereka parti mana yang dirasakan mampu mentadbir negara ini dengan lebih bertanggungjawab sekaligus membawa Malaysia ke arah kecemerlangan.

“Kerajaan ini (Perikatan Nasional) walaupun dibina disebabkan kesilapan dan kedangkalan kerajaan lama (PH), kerajaan ini harus mendapatkan mandat baharu untuk menjadikan ia kerajaan yang lebih kukuh, stabil dan berwibawa.

“Kerajaan yang bertanggungjawab akan terus melaksanakan tanggungjawabnya, manakala kerajaan yang terdiri daripada politikus-politikus yang gagal mentadbir negara akan dinilai oleh rakyat.

“Dalam keadaan tidak menentu yang berlaku hari ini, rakyat adalah medium terbaik untuk menentukan kerajaan mana yang layak mentadbir negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.

Beliau mengulas cadangan ramai pemimpin yang mahu PRU tergempar diadakan bagi menyelesaikan ketidakstabilan politik di negara ini.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, mencadangkan PRU diadakan sebagai langkah penyelesaian terhadap isu-isu politik khususnya berkaitan jumlah sokongan ahli parlimen antara kerajaan dan pembangkang.

Katanya, selain mengembalikan mandat kepada rakyat, PRU penting bagi penubuhan sebuah kerajaan yang kukuh dari segi sokongan ahli parlimen bagi meneruskan misi membangunkan rakyat dan negara.

Ditanya mengenai PRU di peringkat Dewan Undangan Negeri Sabah, Rosnah turut bersetuju bahawa tindakan sama wajar dibuat ekoran kegagalan parti pemerintah.

Beliau yang juga Exco Wanita Umno berkata, ia terbukti apabila dua Adun dari Upko keluar parti baru-baru ini yang menunjukkan bahawa berlaku pergolakan dalam gabungan Warisan/Upko.

“Bukan itu saja, banyak isu lain yang jelas menimbulkan ketidakpuasan hati bukan saja di kalangan wakil rakyat mereka tetapi juga majoriti rakyat di Sabah.

“Justeru, pembubaran Dun bagi mengadakan PRU juga perlu diadakan di negeri ini sekaligus memberikan hak kepada rakyat untuk memilih,” tegasnya.

Minggu lepas, Pengarah Strategi dan Pilihanraya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin juga mencadangkan kerajaan Warisan membubarkan Dun untuk memberi laluan kepada PRU dalam masa terdekat.

Beliau berpendapat tindakan itu dapat dijadikan platform oleh Warisan/Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu yang tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan untuk membuktikan bahawa sokongan rakyat masih kukuh terhadap gabungan itu.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here