KENINGAU: Semua rakyat tanpa mengira status kedudukan mahupun agama perlu menghormati Kaum, Agama dan Raja (3R).
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam, masing-masing berpendapat, 3R amat penting kerana ia merupakan asas utama dalam kekuatan perpaduan bangsa sejak sekian lama dan telah termaktub dalam Perlembangaan.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor berkata, semua masyarakat yang ada di Sabah dan Malaysia amnya perlu mematuhi saranan kerajaan supaya menghormati 3R.
Katanya, ini penting supaya semua rakyat yang ada di negara ini dapat hidup aman, damai dan makmur serta perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama terus kukuh.
Sementara itu, Dr Sangkar yang juga Ketua Cabang PKR Keningau berkata, 3R sebenarnya sudah termaktub dalam Perlembagaan.
Justeru itu katanya, tindakan menyentuh sensitiviti kaum yang terdapat di negara ini perlu dielakkan.
Mereka ditemui pemberita sempena majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri keluarga Dr Sangkar kediaman keluarganya di sini pada Jumaat lepas.
Jelas mereka lagi, tindakan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja menghina 3R adalah amat tepat sekali sebagai pengajaran agar tiada lagi yang ingin berbuat sedemikian.
Majlis rumah terbuka yang dihadiri oleh hampir 10,000 masyarakat pelbagai kaum dan agama itu dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan tarian mansayau daripada suku kaum Murut Nabai Kampung Masak Keningau.