Sat, 27 Apr 2024

HEADLINES :


Kerajaan GRS sokong semua kaum: Hajiji
Published on: Monday, January 24, 2022
Text Size:

Kerajaan GRS sokong semua kaum: Hajiji
Hajiji (kedua dari kiri) diiringi TC Goh (tengah), Dr Jeffrey (kiri), Noorliza (kanan) serta yang lain menggaul ‘Lau Sang’ pada majlis pelancaran karnival itu.
Kota Kinabalu: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memberi sokongan kepada semua kaum di Sabah termasuk masyarakat Tionghua dalam menganjurkan aktiviti kebudayaan masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata ini kerana kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan menggalakkan setiap etnik di Sabah mempertahankan budaya masing-masing.

“Sejak dua tahun lalu, pandemik Covid-19 menyebabkan banyak program dan acara seperti karnival ini terpaksa dibatalkan. Karnival Tahun Baharu Cina amat bermakna kepada masyarakat Tionghua.

“Kami bersyukur kerana pada tahun ini kami dapat menganjurkan karnival itu dalam suasana aman, damai dan muhibbah, walaupun secara sederhana.

“Justeru, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Cina atas kerjasama dan sokongan berterusan mereka kepada saya dan kerajaan negeri.

“Saya juga berharap masyarakat Tionghua di Sabah akan terus menyokong dan membantu kami dalam membangunkan negeri ini,” kata Hajiji ketika merasmikan Karnival Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Dataran Deasoka, di sini malam Sabtu lepas.

Orang ramai boleh mengunjungi karnival di Jalan Gaya selama seminggu bermula Sabtu hingga 29 Januari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) pada 1 Februari. Mereka turut dihiburkan dengan persembahan tarian singa dengan kemahiran cemerlang dalam acara itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Safar Bin Untong, Datuk Bandar Datuk Noorliza Awang Alip dan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) Tan Sri TC Goh.

Menurut Hajiji, selain aspek kebudayaan, kerajaan juga akan memastikan pembangunan yang saksama untuk semua masyarakat di Sabah.

“Tahun ini sahaja, kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM48 juta untuk sekolah vernakular dan mubaligh serta badan agama bukan Islam di negeri ini, dan ia merupakan peruntukan terbesar pernah diluluskan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata kerajaan GRS juga komited untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri dalam pelbagai aspek pembangunan di negeri ini, yang terjejas berikutan penularan wabak Covid-19.

“Awal tahun 2022 adalah permulaan tahun baharu yang baik untuk ekonomi Sabah. Tiga acara penting yang diadakan minggu ini merupakan permulaan positif ke arah itu (pertumbuhan ekonomi) iaitu Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sabah (SIBES), pemeteraian tiga memorandum persefahaman antara kerajaan Sabah dan pelabur bagi pelaksanaan tiga projek bernilai kira-kira RM4.3 bilion dan pembangunan industri hartanah melalui projek Jesselton Quay Central.

“Dalam pertemuan saya dengan Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi yang hadir pada sidang kemuncak itu, kesemua mereka telah berikrar untuk mempromosikan potensi pelaburan di Sabah,” katanya sambil menambah sebagai Ketua Menteri beliau berazam untuk terus berusaha memulihkan ekonomi negeri yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Hajiji berkata, beliau yakin dengan sokongan semua rakyat. Usaha yang diambil kerajaan akan membantu melonjakkan ekonomi negeri dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Kerajaan juga akan memastikan komponen utama agenda transformasi yang digariskan kerajaan negeri melalui pelan pembangunan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam tempoh lima tahun dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya yang berharap tahun baharu akan membawa lebih keharmonian, kemajuan ekonomi dan kemakmuran kepada rakyat dan juga negeri.

Sempena karnival itu, Ketua Menteri turut menyerahkan replika cek olok berjumlah RM200,000 daripada kerajaan negeri kepada FCAS yang diwakili Presidennya, TC Goh, untuk pelaksanaan aktiviti anjuran persekutuan (FCAS).

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here