Sat, 27 Apr 2024

HEADLINES :


MoA dua projek bernilai lebih RM750,000
Published on: Friday, March 22, 2024
By: Lagatah Toyos
Text Size:

MoA dua projek bernilai lebih RM750,000
TAWAU: Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) mengadakan pertukaran dua memorandum perjanjian (MoA) dengan dua rakan strategik, membabitkan dua projek bernilai RM750,280.50 pada satu majlis berlangsung di Conference Room, Tree Plantation Central Office, Brumas, Sabah Softwoods Berhad (SSB), pada Khamis.

MoA pertama adalah bagi projek ‘Guidelines for Biodiversity-friendly Plantation’ di antara MPOGCF dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan peruntukkan RM298, 462.50 yang disalurkan badan itu dan dijadual mengambil masa setahun.

MoA kedua melibatkan projek kajian ‘Bornean Elephant Grass Planting’ di antara MPOGCF, UPM dan Sabah Softwoods Berhad (SSB) dengan peruntukkan berjumlah RM451,818 yang diluluskan MPOGCF serta tempoh kajian adalah selama dua tahun, bermula tahun ini.

Pertukaran MoA projek pertama dilakukan di antara Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud dan Pengarah Institut Pertanian Tropika & Sekuriti Makanan UPM, Profesor Dr. Anjas Asmara @ Ab Hadi Samsudin. 

Manakala, pertukaran MoA projek kedua dilakukan di antara Hairulazim, Ketua Pegawai Eksekutif SSB, Datuk Mohd Daud Tampokong dan Profesor Dr. Anjas.

Mengulas projek pertama itu, Hairulazim berkata, kajian tersebut yang diketuai Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan dari UPM bertujuan menyediakan garis panduan kepada kesemua pemegang taruh dalam industri sawit untuk menangani isu yang melibatkan kelestarian biodiversiti di ladang sawit di negara ini. 

Menurutnya, penerbitan garis panduan tersebut akan melibatkan beberapa aktiviti kajian lapangan untuk penentusahan dapatan kajian, seminar dan bengkel untuk penulis membincangkan perincian kandungan garis panduan dan aktiviti editorial ikhtisas untuk kumpulan penyunting. 

“Adalah menjadi harapan MPOGCF agar garis panduan ini dapat membantu industri sawit Malaysia dalam menguruskan ladang kelapa sawit mampan yang mesra hidupan liar. 

“Inisiatif ini sekaligus berupaya menangani konflik manusia-hidupan liar yang sering berlaku di ladang kelapa sawit bagi mencapai matlamat kehidupan bersama secara harmoni tanpa menjejaskan hasil minyak sawit,”katanya lagi.

Berkenaan projek kedua itu pula, beliau berkata, objektif kajian ini yang akan diketuai oleh Profesor Madya Dr. Hasliza Abu Hassim (UPM) adalah untuk menentukan ciri kaedah penanaman dan komposisi pemakanan rumput Napier.

Di samping itu, kajian juga akan menilai dan mengemaskini keberkesanan penggunaan koridor yang ditanam dengan rumput Napier dalam mempengaruhi pergerakan kumpulan gajah.

“Koridor ini diwujudkan SSB dengan inisiatif kerjasama WWF-Malaysia bagi menghubungkan Hutan Simpan Ulu Kalumpang di bahagian tenggara selatan dan Hutan Simpan Ulu Segama yang terletak di bahagian utara,”katanya.

Menurutnya, kewujudan koridor ini membolehkan pergerakan spesies hidupan liar yang terancam, terutamanya gajah pigmi Borneo dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain. 

Katanya, projek ini turut memberi penekanan untuk membantu dalam membina kapasiti pakar tempatan dengan memberi latihan kepada pelapis saintis muda Malaysia dalam bidang pemuliharaan ekologi dan hidupan liar di Sabah melalui pembiayaan program ijazah Sarjana Sains (MSc) di universiti tempatan. 

“Besar harapan kami di MPOGCF agar projek kajian ini dapat membantu pihak berkepentingan, terutamanya Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk mendapatkan maklumat kajian terkini mengenai pergerakan dan populasi spesies gajah.

“Ini adalah bagi mewujudkan pelan tindakan seterusnya untuk mendapatkan hala tuju dan panduan strategi, keutamaan dan tindakan pemuliharaan spesis terancam ini di peringkat negeri,” katanya lagi.

Hairulazim berkata, projek kajian itu yang dijalankan oleh empat ahli akademik dari UPM, diketuai Prof Madya Dr Hasliza dan dianggotai Prof Madya Dr Hafandi Ahmad, Dr Tengku Rinalfi dan Dr Mohd Huzairi Mohd Zainudin.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here