KENINGAU: Jabatan Pertanian Sabah menyasarkan 3,000 tan metrik benih padi varieti TR8 bagi memenuhi keperluan 24,033 hektar sawah padi di Sabah, di bawah Program Skim Satelit Benih Padi Jabatan.
Menurut Pengarahnya, Jifrin Mohamad, sasaran pengeluaran hasil benih padi tersebut akan membantu menyelesaikan isu kekurangan bekalan benih padi di negeri ini.
“Beberapa daerah kita sudah tetapkan sebagai antara Skim Satelit Benih seperti Kota Marudu, Papar dan Tenom. Manakala daerah lain seperti Tuaran mempunyai program yang mempunyai konsep dan model pelaksanaan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penuaian Skim Benih Padi Sah di Kampung Lambanga, dekat sini, baru-baru ini.
Sehubungan itu, katanya, Jabatan Pertanian Sabah berharap dapat memperluaskan lagi program ini dengan sasaran 350 peserta pada masa akan datang di seluruh Sabah, agar dapat menampung keperluan benih padi bagi meliputi kawasan seluas 24,033 hektar.
Jelasnya, Kg Lambanga mempunyai program melibatkan penanaman keluasan 38 hektar dengan 38 peserta dan telahpun mengeluarkan purata hasil 8.85 tan metrik sehektar, yang setakat ini antara rekod tertinggi di negeri ini.
Melalui program ini, katanya, Jabatan Pertanian Sabah turut memberi bantuan seperti baja, racun serta bayaran pembelian padi yang dituai mengikut berat dengan kadar RM1,500 per tan metrik, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan sosioekonomi penduduk terlibat.
Sementara itu, ketua peserta Juanis Juin berkata, program ini sangat baik kerana memberikan peluang kepada petani untuk meningkatkan ekonomi keluarga.
“Dengan bantuan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian, beban petani diringankan dan hasil padi ditingkatkan,” katanya.