Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Indah Permai jadi titik panas denggi paling lama di negara ini
Published on: Friday, February 03, 2023
By: Sidney Skinner
Text Size:

Indah Permai jadi titik panas denggi paling lama di negara ini
PEGAWAI Jabatan Kesihatan kecewa dengan keengganan ramai pemilik rumah untuk membenarkan mereka masuk dan memeriksa premis.
PEJABAT Kesihatan Daerah Kota Kinabalu (KKDHO) menggesa pemilik-pemilik rumah di Taman Indah Permai untuk mengambil peranan lebih aktif dalam menjaga kebersihan persekitaran mereka kerana kejiranan di Manggatal menjadi titik panas (hotspot) denggi yang paling lama di negara ini.

Pakar Epidemiologi dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam KKDHO Dr Pathman Arumugam berkata seramai 85 penduduk menghidap penyakit itu sejak empat bulan setengah lalu, dengan kes terbaharu dilaporkan pada 21 Januari lalu

.

KAKITANGAN DBKK mengambil gambar genangan air di antara daun di sekitartanaman nanas ini, sambil diperhatikan dua lagi peserta Operasi Bersepadu.

“Mereka yang tinggal di kejiranan itu perlu mencuba dan komited sekurang-kurangnya 10 minit seminggu untuk membersihkan halaman rumah mereka,” katanya.

“Mereka juga harus memeriksa kawasan umum di sekitar rumah untuk mencari barang-barang yang boleh berpotensi menjadi habitat untuk nyamuk Aedes.

“Berhati-hati dengan sebarang longgokan sampah, termasuk tayar terpakai, yang mungkin berselerak dan buang sampah ini dengan betul.

“Perhatikan pinggan seramik di mana pasu bunga anda diletakkan kerana kadangkala air bertakung di sana dan nyamuk mungkin membiak dalam cairan ini.”

Wabak di kawasan perumahan itu bermula pada 23 September tahun lalu, menurutnya.

KAKITANGAN Jabatan Kesihatan meneliti cairan yang bertakung di sekitar pasu bunga di sebelah tangki air ini.

Katanya, Rumah Pangsa Sri Nilam, di kawasan Hulu Langat, Semenanjung, sebelum ini pernah menjadi lokasi titik panas denggi paling lama di Malaysia.

“Sebanyak 29 kes dilaporkan di Rumah Pangsa itu antara ketika wabak itu bermula pada 5 Julai dan apabila ia berakhir pada 5 Disember.

“Terdapat kira-kira 5,000 individu tinggal di Taman Indah Permai dan 2 peratus daripada jumlah ini menghidap penyakit itu, setakat ini, sejak 132 hari lalu.”

Beliau menjelaskan “wabak” disifatkan berlaku sekiranya dua atau lebih kes denggi dilaporkan dalam radius 200 meter.

“Wabak itu akan dianggap tamat, jika tiada orang lain di kawasan ini dijangkiti penyakit itu dalam dua minggu berikutnya,” katanya.

“Sekiranya berlaku sebaliknya, maka keadaan itu akan dikategorikan sebagai ‘wabak tidak terkawal’.

SEORANG peserta Operasi Bersepadu memanjat tangga untuk memeriksa longkang di rumah ini semasa Operasi Bersepadu Indah Permai.

“Sesebuah lokaliti digelar sebagai titik panas, jika kes terus meningkat melepasi titik 30 hari."

Arumugam berkata KKDHO sudah melaksanakan 15 pemeriksaan di Taman Indah Permai, sejak September, untuk cuba menyelesaikan masalah itu.

“Kami akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk membersihkan mana-mana tempat pembiakan nyamuk berpotensi yang kami kenal pasti, tetapi dalam banyak keadaan, apabila kami kembali kami dapati tempat pembiakan baru telah muncul.

“Majoriti mereka yang tinggal di sana nampaknya kurang kesedaran mengenai kemasyarakatan.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, kakitangan KKDHO juga mengalami kesukaran untuk memasuki kira-kira 50 peratus rumah di kawasan kejiranan itu. “Sebahagian unit ini kosong. Yang lain, bagaimanapun, mempunyai penghuni tetapi mereka yang berada di dalam enggan membenarkan pegawai kami masuk untuk memeriksa premis mereka.”

ANGGOTA Rela dan Angkatan Pertahanan Awam menjalankan pembersihan komuniti di kawasan umum di Taman Indah Permai.

Selain itu, katanya, terdapat kehadiran struktur haram di kawasan umum di belakang banyak rumah, yang menyukarkan usaha untuk membersihkan longkang belakang rumah dengan sebaiknya – apatah lagi menjalankan pengasidan jentik-jentik atau pengabusan – di bahagian itu.

Katanya, apa yang berlaku di Taman Indah Permai bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan, memandangkan peningkatan yang membimbangkan dalam jumlah pesakit denggi di negeri ini.

Untuk menekankan betapa seriusnya situasi itu, Arumugam berkata KKDHO menjalankan “Ops Bersepadu Indah Permai” berskala besar pada hujung Januari.

Beliau berkata kira-kira 250 individu menyertai Operasi ini.

Mereka ini datang daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Karambunai, pejabat Adun Sepanggar dan Kumpulan Sukarelawan Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) – serta Polis, Jabatan Penerangan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Arumugam berkata seorang pemilik rumah menerima notis untuk membersihkan premisnya, manakala sampel jentik-jentik diambil dari 10 premis lain.

“Separuh daripada sampel diuji positif di makmal KKDHO.”

TINDAKAN turut diambil untuk memotong rumput panjang di bahu jalan ini yang mungkin menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Beliau memberi amaran bahawa pemilik premis boleh dikompaun sehingga RM500 jika cairan itu didapati mempunyai jentik-jentik Aedes.

“Mereka boleh dianggap telah mencipta habitat berpotensi untuk nyamuk, di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2002).

“Mereka pada mulanya akan diminta untuk menyingkirkan objek di mana serangga itu bertelur.”

Seksyen 8 ordinan itu menetapkan bahawa “Pegawai Perubatan Kesihatan atau pemeriksa boleh secara bertulis memerintahkan pemilik atau penghuni mana-mana premis... untuk mengumpul dan mengeluarkan tin, botol atau bekas kosong lain di mana serangga pembawa penyakit boleh membiak”.

“Mana-mana individu.., yang gagal atau cuai untuk mematuhi mana-mana perintah bertulis… boleh didapati melakukan suatu kesalahan.” Arumugam berkata, dalam kes yang melampau, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pesalah.

“Mereka yang didapati bersalah di mahkamah buat kali pertama berisiko dikenakan denda RM10,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya.

“Pesalah berulang pula berdepan kemungkinan terpaksa menanggung denda RM50,000, menjalani hukuman penjara lima tahun atau kedua-duanya, menurutnya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here