Penduduk rayu jalan raya di Pitas dibaiki
Published on: Tuesday, January 22, 2019
PITAS: Sekitar 200 penduduk dari beberapa kampung menghadiri perhimpunan aman bagi menggesa pihak bertanggungjawab menyegerakan pembaikan atau menaik taraf jalan utama Pitas ke Mangkubau Laut, Mangkapon, Telaga, Malubang dan Mapan-Mapan serta beberapa lagi kampung terlibat.
Dianggarkan, jalan utama sejauh lebih 45 kilometer yang bermula daripada jalan kampung Datong itu yang belum berturap perlu dinaik taraf segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk sekitarnya.
ADVERTISEMENT
Ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila penduduk dari 60 buah kampung dekat sini masih belum merasai kemajuan dari aspek pembangunan infrastruktur, khususnya jalan raya.
Penderitaan dan kekecewaan yang mereka terpaksa lalui selama ini sudah tidak dapat ditahan lagi, sehinggakan mereka bersepakat untuk menyuarakan hasrat melalui satu perhimpunan aman di Jalan Kampung Datong, dekat sini pada petang Ahad lepas.
Pengerusi Penganjur Perhimpunan Aman, Balasundaram A/L Kalippan, 35, atau lebih dikenali Bala@Jack berkata, pihaknya mengambil masa selama dua minggu untuk membuat persiapan mengadakan perhimpunan aman berkenaan.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Pitas turut berharap penganjuran perhimpunan terbabit tidak disalah tafsir oleh mana mana pihak, katanya.
ADVERTISEMENT
“Perhimpunan ini bukan mahu tunjuk “protes” kepada kerajaan sekarang, cuma kami merayu kepada kerajaan agar dapat membantu kami menyegerakan naik taraf jalan raya dekat sini yang menghubungkan banyak kampung dan memberi manfaat kepada lebih 15,000 penduduk.
“Kami faham akan kekangan kewangan yang dialami kerajaan sekarang, cuma kami minta belas kasihan, dengar rintihan serta luahan kami dan tolong kami selesaikan isu jalan raya ini,” katanya merayu.
ADVERTISEMENT
Bagi Pembantu Kesihatan Awam Abdullah Isah, 50, yang sudah 23 tahun berkhidmat di Klinik Kesihatan Kampung Bongkol, berkata masalah jalan raya ini sering menjadi keluhan dan kerap diajukan kepada pihak berkaitan.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini masih tiada jawapan atau tindakan diambil meskipun penduduk kampung sudah menyuarakan rayuan mereka sejak bertahun lamanya.
Tambahnya, keadaan jalan yang tidak berturap itu juga menyukarkan pihaknya menghantar pesakit kronik dari klinik kesihatan ke Hospital Pitas, pelbagai kejadian tidak diingini berlaku dan yang amat menyedihkan ialah pesakit kritikal menghembuskan nafas terakhir semasa perjalanan.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
“Kerajaan harus mempercepatkan pembinaan jalan raya berturap di jalan utama kampung terlibat kerana di kawasan ini, kami sudah ada dua buah kenderaan ambulans yang dilengkapi peralatan kecemasan.
“Namun, tahun lepas kami tidak dapat gunakan kerana keadaan jalan sebegini dan ia amat menyedihkan buat pesakit yang memerlukan rujukan kepada doktor pakar dan kes di luar jangka,” katanya.