KUNAK: Semua tiga buah sekolah menengah di daerah ini mencipta sejarah apabila semua pelajar yang mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lepas, lulus dalam peperiksaan itu yang diumumkan pada Isnin.
Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kunak, Hj Raduan Abd Rahman berkata, tiga buah sekolah itu ialah SMK Kunak Jaya, SMK Madai dan SMK Kunak.
“Program Unggul yang diperkenal dan dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas telah banyak mengukir pencapaian positif khususnya dalam peningkatan akademik pelajar dalam peperiksaan awam,” katanya kepada Harian Ekspres.
Seramai 128 calon menduduki peperiksaan STPM di Kunak tahun lalu.
Sementara itu, lima pelajar terbaik dari SMK Kunak Jaya - (SMKKJ) iaitu Andi Arnaisah A.Arnis, Fatimah Hanim Ambo Resi, Noor Afiza Natasha Tahar, Khairunnisa Madispa dan Sahlan Ahmad berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan itu. Mereka antara pelajar dari Kunak yang turut disenarai dalam pencapaian terbaik di Sabah. Lima subjek iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi dan Ekonomi turut merekodkan 100 peratus lulus di sekolah tersebut.
Dalam pada itu, Pengetua SMK Kunak Jaya, Malek Mohd Shafdar Gulam Hassan, sekolah itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila empat tahun mencapai 100 peratus lulus STPM berturut-turut sejak 2015.
Advertisement

Gred Purata Sekolah (GPS) bagi SMK Kunak Jaya 3.19, GPS SMK Madai 2.81 dan GPS SMK Kunak 2.93.
Dua lagi pelajar terbaik dari Kunak ialah Salmiah Abdullah - SMK Kunak, dan Hawila Wodriunsa pelajar SMK Madai.
PNGK daerah Kunak dalam STPM kali ini adalah 2.99.
Pelajar berkenaan menerim sijil penghargaan di Beufort pada isnin yang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Sabah dan turut ditemani Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua sekolah dan ibu bapa pelajar.
“Syabas dan tahniah kepada semua warga pendidik, pelajar dan ibubapa dengan pencapaian ini,” kata Raduan.