Sat, 27 Apr 2024

HEADLINES :


SK Madai perlu dewan serbaguna
Published on: Monday, March 18, 2019
By: Ibrahim Tabir
Text Size:

SK Madai perlu dewan serbaguna
KUNAK: Kemudahan sebuah dewan serbaguna atau dewan mini sangat diperlukan di Sekolah Kebangsaan (SK) Madai di sini bagi mengelak murid-murid terpaksa berada di bawah sinaran matahari setiap kali acara perhimpunan diadakan di sekolah berkenaan.

Melihat perkara itu, cadangan guru besar sekolah berkenaan agar sebuah dewan serbaguna dibina di situ mendapat respon positif daripada Adun Kunak, Norazlinah Arif.

“Sekolah SK Madai sangat memerlukan ruang untuk perhimpunan. Untuk jangka masa pendek, kita (pihak Adun) akan usahakan memasang kanopi untuk anak-anak kita duduk dalam keadaan selesa setiap kali perhimpunan sekolah diadakan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Madai, pada Ahad.

Norazlinah berkata, beliau difahamkan cadangan menambah baik kemudahan sekolah itu seperti dewan serbaguna memang perlu, tetapi menurutnya, dewan sahaja tidak cukup.

“Kita perlu bangunan (sekolah) yang baharu,” katanya yang disambut sokongan daripada ibu bapa yang hadir.

Beliau memberi jaminan akan meneliti perkara itu memandangkan cadangan penambahbaikan kemudahan di sekolah itu sebelum ini sudahpun dipanjangkan kepada pihak kementerian melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kunak.

Ketika ini, bangunan pentadbiran, bilik guru dan bilik darjah di sekolah itu adalah binaan kayu.

Turut hadir pada majlis itu ialah wakil PPD Kunak, Abu Samah A.Bakar; Guru Besar SK Madai, Balnama Kauluh; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Bahri Lakile serta ibu bapa. 

Garaj kenderaan guru di perkarangan sekolah itu digunakan sebagai lokasi mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, Norazlinah berkata mesyuarat PIBG yang diadakan itu juga merupakan platform untuk mengadakan perbincangan antara warga pendidik dan ibu bapa berhubung sebarang perkara atau masalah berbangkit yang memerlukan penyelesaian terbaik.

Beliau juga meminta ibu bapa agar terus memainkan peranan dan bekerjasama dengan pihak sekolah dalam mencari penyelesaian bagi sebarang isu berbangkit atau yang melibatkan disiplin murid.

“Tidak ada ‘formula sakti’ atau jalan mudah untuk melihat kejayaan pelajar, sebaliknya tugas mendidik murid-murid adalah tanggungjawab bersama ibu bapa dan guru-guru.

“Marilah kita berusaha menjadi ibu bapa yang baik dan sebagai ibu bapa, kita juga perlu memahami apa yang diperjuangkan oleh guru-guru.

“Saya faham, guru-guru tidak pernah lelah memberi didikan kepada anak-anak muridnya,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 300 buah kerusi plastik dan meja disumbangkan oleh Adun Kunak untuk keperluan sekolah itu, baru-baru ini .

Menurut Norazlinah, komuniti di daerah itu boleh datang ke Pusat Khidmat Adun atau Pejabat UPPM jika memerlukan bantuan dan aduan yang berkaitan kerana kakitangan di situ sedia menerima sesiapa sahaja tanpa mengira pegangan politik.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here