TENOM: Angkatan Perpaduan Sabah (APS), yang mempertikaikan tindakan meluluskan aktiviti pembalakan kepada sebuah syarikat di atas tanah seluas 388.3 hektar di Kg Katubu Sasagop dan Kg Kapulu, di sini, menuntut penjelasan daripada jabatan kerajaan terlibat.
Naib Presidennya, Paul Kadau berkata aktiviti pembalakan di kawasan terbabit jika diteruskan akan menjejaskan ekosistem alam sekitar, dan berkemungkinan besar berlaku hakisan tanah.
Katanya, penduduk mendakwa pembalakan itu turut melibatkan sempadan tanah adat Kg Imahit dan kawasan tadahan air.
“Penduduk juga mendakwa aktiviti itu mengganggu sistem tagal sungai, menjejaskan kawasan perkuburan lama serta cara hidup masyarakat orang asal, mengubah keaslian bentuk muka bumi seperti bukit bukau dan sungai sedia ada dan mengganggu aktiviti tanaman makanan asli.
“Kawasan ini juga sebahagian daripada kawasan pelancongan Rundum Highland,” katanya pada Sabtu.
Tambahnya, APS turut menggesa agar kerja pembalakan berkenaan dihentikan untuk menjaga kepentingan penduduk di kawasan itu, yang rata-ratanya terdiri daripada orang asal.
Dalam perkembangan berkaitan, difahamkan Adun Kemabong Jamawi Jaafar turut menghantar surat bantahan kepada Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layapan yang juga Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT), kerana tidak bersetuju dengan aktiviti berkenaan.
Susulan itu, satu operasi bersepadu dijalankan pada Rabu yang diketuai Madiyem dan disertai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan untuk memantau kawasan terlibat.
Madiyem berharap aktiviti pembalakan di kawasan tersebut dihentikan kerana bimbang ia akan membawa kepada pencemaran sekali gus memudaratkan penduduk.