Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Arddley Nicholas kongsi kisah hidup dalam lagu
Published on: Saturday, August 03, 2019
By: Joy Bruno
Text Size:

Arddley Nicholas kongsi  kisah hidup dalam lagu
PERJALANAN hidup ini umpama guru yang banyak mengajar dan membentuk saya dalam mengharungi kehidupan sebagai anak seni, kata penyanyi Arddley Nicholas.

Menurut pelantun Break Free itu, pengalaman yang dilaluinya merupakan inspirasi kepadanya untuk menghasilkan lirik lagu dan dikongsi kepada mereka yang mempunyai perjalanan hidup serupa dengannya.

Arddley baru saja melahirkan lagu solo ketiganya bertajuk Nafas yang menceritakan tentang diri yang keseorangan dalam mengharungi perit getir kehidupan tanpa sesiapa peduli.

Tetapi kenyataannya tuhan yang memberi kita nafas sentiasa ada dengan mengirimkan seseorang yang kita anggap orang asing dalam hidup kita untuk membantu.

“Lirik dan lagu yang mengetengahkan genre  Pop Retro Dance ini adalah hasil nukilan saya sendiri sementara susunan muzik oleh Bern bersama saya.

“Ia berlainan dari genre yang selalu saya bawakan iaitu RnB Soul Blues yang ingin saya ketengahkan dalam lagu-lagu saya yang akan datang.

“Ia adalah salah satu genre asal saya semasa mula menceburkan diri sebagai penyanyi dan ia kekuatan sebenar saya, cuma untuk lagu Nafas ini saya ingin mencuba sesuatu yang baru.

“Lagu ini mengambil masa setahun untuk siap, bermula dari penulisan draf, hinggalah ke pembuatan muzik video.

“Idea menghasilkan lirik lagu ini semasa saya melancong ke luar negara bersama dengan rakan saya Jeremiah Awantang Saun, di mana kami berdua ingin ‘mencari diri kami’ dan mencari ketenangan dari tekanan dan bebanan realiti hidup untuk sementara.

“Saya harap lagu ini dapat menyentuh dan memberi nafas baru buat semua yang sedang bergelut dan berjuang dengan apapun cabaran pada masa hadapan.

“Saya yakin pasti ada yang melihat anda dari atas sana dan mengirim pertolongan dengan apapun cara,” katanya kepada Hiburan Ekspres.

Menurutnya, pembikinan muzik video untuk lagu Nafas sudah pun siap dan rakan-rakan artis yang terlibat ialah Hosiani, YouTuber Elvin Romeo, D5ob Nick Auddrey, Esther Applunius, Marllenney Fane dan Isaiah Dcky Jerry.

“Sangat mudah bekerjasama dengan mereka, walaupun mereka masing-masing sibuk tapi mereka sangat profesional dan sanggup meluangkan masa untuk menjayakan muzik video ini, saya sangat berterima kasih dan menghargai komitmen mereka,” katanya.

 

Ceritanya lagi, sebelum terlibat dalam bidang seni, dia memang tidak pernah terfikir yang dia akan menyanyi dan menari suatu hari nanti.

Tetapi ianya bermula apabila dia mengenali seorang rakan yang dianggap sebagai saudara sendiri iaitu Jeremiah yang merupakan seorang penari dari Miri, Sarawak dan terlibat bersama kumpulan tariannya The Vessels dalam pembikinan video muzik lagu Nafas.

Jeremiah yang banyak memberi dorongan untuknya membuat yang terbaik dalam bidang nyanyian mahupun tarian serta banyak memberi kata semangat untuk  mengatasi masalah kemurungan yang dihidapinya.

Menurutnya lagi, dia sebenarnya mengalami masalah kemurungan dan dia sangat bersyukur kerana selalu mendapat sokongan dan dorongan dari rakan-rakannya.

“Saya percaya bila kegelapan menyelubungi, cahaya juga pasti akan datang, Tuhan membantu setiap insan itu dalam cara yang sangat unik tanpa di sedari.

“Kehidupan sangat sukar untuk diramalkan, hidup seperti roda yang sering berputar, namun setiap yang baik atau buruk adalah satu pengalaman yang mematangkan dan lebih menguatkan.

“Sementara banyak orang yang merayakan sesuatu dan bergembira, banyak yang tidak menyedari ada insan-insan lain diluar sana yang berjuang mengharungi kesunyian kerana masalah kemurungan.

“Tidak semestinya orang yang senyum, tertawa gembira, tidak punya permasalahan dalaman yang mereka simpan kerana itu cubalah  sentiasa berhubung dengan rakan-rakan yang punya masalah begini untuk bertanya khabar,” ujarnya lagi.

Arddley turut bercerita tentang perancangannya pada masa akan datang iaitu melahirkan lebih banyak muzik yang dapat menginspirasi masyarakat terutama dalam kesedaran kesihatan mental.

“Saya juga terbuka untuk kolaborasi bersama dengan mana-mana artis luar atau dalam negeri.

“Arena seni tempatan khususnya di Sabah semakin lama semakin berkembang dengan agrasif. Lebih ramai pendatang baru yang lebih muda dan berpotensi dan banyak pengeluaran produk muzik video yang berkualiti dan juga bakat-bakat baru.

“Ini sangat bagus dalam menyumbang ke arah kemajuan arena muzik Sabah.

“Bagi pengkarya seni terdahulu, teruslah berkarya dan terus mencari idea dan nafas baru mengikut peredaran zaman agar dapat menjadi panduan kepada pendatang-pendatang baru dalam arena ini,” katanya.

[email protected]





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here