BERTEMAKAN ‘Seimbang untuk Sejahtera’, Sambutan Hari Wanita Sabah 2019 hari ini disifatkan sebagai platform terbaik bagi mengiktiraf pencapaian golongan wanita di negeri ini merangkumi pelbagai aspek, termasuk sosial, ekonomi dan politik.
Buat julung kalinya juga, sambutan kali ini menyaksikan satu anugerah khas diperkenalkan sebagai mengiktiraf sumbangan dan sokongan kaum lelaki terhadap usaha memartabatkan kaum hawa di negeri ini khususnya di tempat kerja.
Advertisement

Malah pemilihan tema itu juga menepati aspirasi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), sebagai sebuah badan pemikir kerajaan negeri, untuk mencapai sasaran 30 peratus pembuat dasar, terdiri daripada golongan wanita, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.
Pengerusinya, Datuk Noni Said berkata, MPWS komited dalam usaha memastikan lebih ramai wanita menjadi pembuat dasar dalam kedua-dua sektor berkenaan bersandarkan kepada potensi dimiliki golongan terbabit.
“Sehingga sekarang, MPWS masih komited dalam mencapai sasaran 30 peratus wanita menduduki kerusi pembuatan keputusan sama ada dalam sektor kerajaan dan swasta.
“Jika usaha dan kepercayaan diberikan kepada wanita saya pasti wanita di negeri ini akan terus berusaha tanpa mengira bangsa dan agama demi meneruskan perjuangan merealisasikan kejayaan wanita Sabah yang cemerlang,” katanya.
Advertisement

Noni, wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Negeri di Sabah, berkata sasaran 30 peratus pembuat keputusan tidak hanya tertumpu pada satu-satu jawatan sahaja.
Merujuk kepada pembuat keputusan dalam kerajaan, menurut beliau, ia juga, antara lainnya, termasuk jawatan pengarah jabatan, ahli lembaga pengarah dalam badan berkaitan kerajaan, pegawai daerah dan ahli-ahli kerajaan tempatan.
Katanya, sasaran 30 peratus sudah tercapai dari segi jawatan setiausaha tetap kerajaan negeri apabila sejumlah empat wanita memegang jawatan terbabit daripada 11 kementerian.
“Biarpun kita gembira dengan pencapaian ini, kita mahu lebih ramai wanita diberi peluang memegang jawatan penting dalam kerajaan, antaranya Pegawai Daerah.
“Ketika ini, hanya ada seorang pegawai daerah wanita daripada 25 daerah, namun dari segi jawatan pengarah kita belum mendapat statistiknya.
“Sekarang di Sabah cuma tiga wanita dilantik sebagai jurutera daerah, sedangkan kita mempunyai 13 jurutera dalam Jabatan Kerja Raya Negeri,” katanya.
Dalam masa sama, tambahnya, ada banyak lagi usaha perlu dilaksanakan MPWS bersama sekretariatnya, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa), untuk sasaran itu dapat diadaptasikan dalam sektor swasta.
“Justeru, kita akan mengambil pendekatan bersesuaian bagi meyakinkan sektor swasta agar meletakkan golongan wanita sebagai pembuat dasar dalam organisasi mereka.
“Salah satu pendekatan yang kita telah ambil ialah dengan mengadakan Roundtable Discussion on Sex-Disaggregated Data dan Gender Analysis Matter in Advancing Gender Inclusion, pada awal bulan ini.
“Pelaksanaan inisiatif ini akan membolehkan mendapatkan statistik dan data mengenai kesamarataan gender di tempat kerja dan sekali gus membolehkan MPWS menasihati Kerajaan Negeri dalam pembuatan dasar kerajaan berkaitan wanita, khususnya dalam sektor swasta.
“Inilah antara peranan MPWS iaitu sebagai penghubung atau jambatan antara wanita dan kerajan negeri dalam memastikan kaum hawa tidak terpinggir selain memperjuangkan hak dan kepentingan wanita,” katanya.
Anugerah untuk lelaki
Mengenai anugerah untuk lelaki, Noni, berkata penganugerahan berkenaan adalah selaras dengan pemilihan tema sambutan Hari Wanita peringkat negeri tahun ini, yang bertujuan untuk menjadikan keseimbangan gender sebagai realiti.
“Sudah tiba masanya lelaki yang menyokong wanita dihargai dengan memberikan Anugerah Khas (Anugerah Keseimbangan Gender) kepada mereka yang memberikan sokongan penuh kepada wanita dalam pelbagai aspek.
“Ini juga adalah bagi menunjukkan lelaki dan wanita perlu membantu dan menyokong antara satu sama lain untuk bergerak ke depan dan mencapai kecemerlangan.
“Antara kriteria yang kita lihat (sebelum penganugerahan diberikan) adalah dari segi layanan terhadap wanita di tempat kerja, apakah kelebihan yang diberikan kepada pekerja wanita serta memberikan keadilan dan memperkasakan wanita sama ada di tempat kerja atau dalam persatuan, sebagainya,” katanya.
Beliau yang dilantik sebagai pengerusi MPWS buat kali ketiga, berkata sambutan Hari Wanita turut memberikan galakan dan kesedaran kepada masyarakat tentang penglibatan wanita dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, politik dan sosial sama ada di bandar atau luar bandar.
“Di Sabah kita sangat bertuah kerana hidup dalam pelbagai bangsa dan agama. Wanita kita sangat kuat dalam menyokong seruan kerajaan serta sering bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memartabatkan wanita Sabah di persada dunia.
“Malah, pemilihan tema sambutan kali ini juga cukup penting dalam memperjuangkan hak dan kepentingan wanita, sekali gus mengelak berlakunya diskriminasi dan eksploitasi terhadap golongan itu,” katanya.
Tema sambutan juga selaras dengan tema Hari Wanita Antarabangsa, yang disambut pada 3 Mac setiap tahun.
MPWS, sebagai penganjur dengan kerjasama Jhewa, merangka beberapa aktiviti sebagai pengisian sambutan kali ini, dengan majlis kemuncak bakal berlangsung di Magellan Sutera Harbour, Kota Kinabalu, malam ini, dan bakal disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Antara aktiviti menjelang sambutan Hari Wanita adalah:
- MPWS Bertemu Media,
- Roundtable Discussion on Sex-Disaggregated Data and Gender Analysis Matter in Advancing Gender Inclusion,
- Seminar Tanggungjawab Ibu Bapa Terhadap Anak dan Isu Sosial.
- Majlis Jalinan Mesra Bersama NGO
- Bengkel kesedaran dan literasi undang-undang.
- Pertandingan Menulis Cerita Pendek mengenai Kekuatan dan Kejayaan Wanita
- Pertandingan Video Pendek mengenai Cabaran dan Kejayaan Wanita
Menjadi tradisi setiap tahun, Anugerah Wanita Negeri Sabah juga akan diberikan sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada wanita yang telah menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negeri.
Anugerah-anugerah itu adalah:
- Anugerah Tokoh Wanita (Penerima akan menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil)
- Anugerah Wanita Cemerlang (Penerima akan menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil)
- Anugerah Persatuan Wanita Cemerlang (Penerima akan menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil)
- Anugerah Khas (Kesamarataan Gender) Untuk Lelaki (Penerima akan menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil)
Kazalinah Kamaludin
kazalinah_kamaludin@yahoo.com.my