Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


PBS sedia platform belia bawah 30 tahun ceburi politik
Published on: Sunday, November 17, 2019
By: Ricardo Unto
Text Size:

PBS sedia platform belia bawah 30 tahun ceburi politik
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) bakal menyediakan platform lebih baik untuk belia berumur bawah 30 tahun menceburi dunia politik dengan pelancaran Pergerakan Belia dan Beliawanis Bersatu (PBBB).

Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata ini adalah salah satu cara PBS bagi mengalu-alukan orang baharu ke dalam parti terbabit.

“Dari sudut politik, kami menyaksikan perubahan. Dunia juga berubah,” katanya dalam ucapan dasar beliau pada Kongres Tahunan PBS Ke-34 di dewan Persatuan Kebudayaan Hongkod Koisaan Kadazan Dusun (KDCA), di sini, pada Jumaat.

“Bumi mungkin semakin tua, tetapi manusia menjadi semakin matang dalam cara mereka berfikir pada usia muda. Tanpa kita menyedarinya, generasi muda banyak memainkan peranan.

“Mereka bukan saja mengubah lanskap ekonomi, tetapi juga politik. Begitu juga, kerajaan meletakkan masa depan negara di tangan belia berumur 18 tahun.

“Mereka sekarang sebahagian daripada kumpulan pembuat keputusan, memutuskan siapa yang terbaik untuk mengetuai mereka. Keputusan menurunkan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun mempunyai kebaikan dan keburukan.”

Buat masa sekarang, beliau berkata, parti itu memilih untuk melihatnya dari sudut positif, kecuali keputusan pendaftaran automatik, yang mendapat tentangan PBS di Parlimen.

“Bagi mengalu-alukan keputusan kerajaan, PBS mengambil inisiatif untuk mewujudkan PBBB, dengan mengalu-alukan belia berumur 18 tahun menyertai parti.

“Selaku parti tempatan tertua di Sabah, PBS sudah lama digelar sebagai sebuah parti tua, tetapi sebuah parti berpengalaman dengan rekod prestasi yang terbukti dalam sumbangan politik dan urustadbir,” katanya.

Tambahnya, PBS adalah ‘rumah’ untuk semua kerana ia adalah sebuah parti politik pelbagai kaum, dan memenuhi keperluan golongan muda dan dewasa.

“Kita mahu memastikan golongan muda mempunyai peluang yang adil bagi menyuarakan pendapat mereka, berkongsi pandangan mereka dan memainkan peranan dalam pembinaan negara.

“PBS tidak kekurangan pemimpin yang baik. Kita memiliki barisan pemimpin muda berkelayakan dan veteran berpengalaman yang boleh melatih ahli-ahli muda dan baharu, berkongsi dengan mereka perjuangan teras kami dan kenapa PBS adalah pilihan terbaik mereka.

“PBS, sebaliknya, mesti proaktif dengan perkembangan baharu ini.”

Sehubungan itu, kata beliau, terdapat keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa khas di semua bahagian dan mewujudkan program serta aktiviti yang mampu menarik minat pengundi-pengundi muda ini.

“Kita mesti memastikan kehadiran kami dirasai. PBS dan perjuangannya memerlukan pengukuhan dan pemasaran, khususnya kepada golongan muda, yang hanya tahu mengenai parti secara dasarnya.

“Jika kami membuatkan parti kita dikenali sekarang, saya percaya kita tidak akan berdepan banyak masalah untuk mendapat sokongan beliau berumur 18 tahun dalam pilihan raya umum akan datang.

“Tiga tahun tidak lama, jadi kita perlu bertindak sekarang,” katanya.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here