TAWAU: Etnik dan bangsa terdapat di Tawau dan Kalabakan, khasnya digalakkan menubuhkan persatuan dalam usaha mengekalkan kebudayaan warisan nenek moyang agar tidak hilang ditelan zaman.
Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman berkata, hanya melalui persatuan sahaja, keunikan sesebuah bangsa dapat ditonjol dan diperkenalkan kepada bangsa lain di Negeri ini yang mempunyai 39 etnik.
Malah, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, katanya sudah tiba masa untuk semua pihak menggembleng tenaga menonjolkan keunikan budaya masing-masing sebagai satu lagi daya tarikan pelancongan di daerah ini.
“Misalnya dari segi pakaian, makanan dan sebagainya...Memang kita ada banyak destinasi menarik di Tawau dan Kalabakan seperti Taman Bukit Tawau, Sungai Balung dan Maliau Basin tetapi tidak dipromosikan.
“Oleh itu, kita harus bekerja-keras mempromosikan daerah kita yang kaya budaya dan alam semulajadi menarik kerana kita amat ketinggalan berbanding Semporna.
“Pelancong turun di Lapangan Terbang Tawau terus ke kanan (Semporna), bukan ke kiri (Tawau),” katanya lagi.
Katanya, pihaknya di Parlimen Kalabakan ada memperuntukkan dana khas buat persatuan-persatuan, termasuk persatuan kebudayaan bagi membolehkan mereka melaksanakan program-program bermanfaat.
Menurutnya, dana khas tersebut merupakan komitmen beliau sejak menjadi Wakil Rakyat demi melihat pembangunan masyarakat dalam pelbagai aspek di kawasan beliau.
Ma’mun berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Bangsa Toraja Sabah dan Penyerahan Watikah Perlantikan Jawatankuasa di Dewan Kompleks Sukan, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusinya, Ishak Martin.
Menyentuh program itu pula, beliau kagum dengan usaha ditunjukkan persatuan terbabit sehingga berjaya menerima keahlian 84 orang tidak termasuk ahli jawatankuasa dalam tempoh tiga bulan sahaja selepas didaftarkan secara rasmi pada 24 Julai lalu.
Menurutnya, bangsa Toraja sudah tidak asing lagi di Sabah kerana sudah berada di negeri ini sejak tahun 50-an lagi dan membawa kebudayaan nenek moyang mereka dari Sulawesi Selatan.
Beliau juga berharap usul mengadakan penerbangan terus Tawau – Makassar dapat direalisasikan menjelang tahun hadapan agar sektor pelancongan antara kedua buah wilayah yang turut berkongsi ikatan kekeluargaan sangat erat, ditingkatkan.