Kota Kinabalu: Ketua Wanita PKR Sabah, Rahimah Majid, menggesa siasatan dan tatatertib yang sewajarnya dibuat terhadap Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar, berikutan pemecatannya secara mengejut sebagai setiausaha politik kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.
“Dalam perkara ini, Ahuar harus diberi hak dan wadah yang sesuai untuk mempertahankan dirinya atas apa-apa tuduhan yang ada yang membawa kepada pemecatannya daripada lantikan politiknya. Ini harus dilakukan oleh Biro Tatatertib PKR, secepat mungkin.
“Dan, jika dia didapati bersalah atas kesalahan-kesalahan serius dengan bukti, maka dia harus dikenakan tindakan sewajarnya, jika itu adalah kesalahan jenayah dan harus dipecat dari parti (PKR) dengan segera.
“Ini perlu untuk melindungi nama baik dan integriti parti sebagai parti utama komponen pakatan pemerintah Pakatan Harapan. Jika gagal, ia memberikan mesej yang salah kepada orang awam, ahli dan penyokong terutamanya, bahawa PKR membiarkan salah laku pemimpinnya,” katanya dalam satu kenyataan Jumaat.
Rahimah, yang juga ahli Majlis Kepimpinan Pusat PKR merangkap Ketua Bahagian Kudat, mengulas laporan berita mengenai pemecatan mengejut Ahuar sebagai setiausaha politik kepada Liew, yang juga Pengerusi PKR Sabah, Ahli Parlimen Tawau dan Adun Api-Api.
Sebagai pengamal undang-undang sendiri, Rahimah juga menggesa Ahuar yang juga Ketua Bahagian PKR Pensiangan dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Sabah, agar berani tampil membersihkan namanya daripada dakwaan-dakwaan rasuah, salah guna kuasa, dan salah guna nama parti untuk kepentingan peribadi.
Beliau berkata, ia perlu sebab Ahuar dalam kenyataannya yang dikeluarkan kepada media, mendakwa bahawa dia tidak jelas mengenai sebab-sebab sebenar pemecatannya yang disyorkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Selain itu, Rahimah juga menggesa Kerajaan Negeri Sabah agar segera meneliti secara serius aduan rasmi Ahuar mengenai aktiviti pembalakan sembarangan yang dijalankan oleh syarikat Brilliant Junction Sdn Bhd di Nabawan, yang didakwa membinasakan alam sekitar sekeliling kawasan itu.
Beliau berkata, aduan Ahuar, dengan salinan turut dihantar kepada agensi-agensi kerajaan berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, telah pun menjadi tular selepas seseorang menghantarnya ke media sosial termasuk WhatsApp dan Facebook.